Tuesday, January 10, 2012

Manfaat kelebihan akal mampu kekang hawa nafsu

AKAL adalah potensi manusiawi yang penting dan simbol keistimewaan manusia kerana dianugerah Allah kelebihan sangat berharga. Allah mengurniakan akal sebagai neraca untuk manusia menimbang lalu memilih mana yang baik dan buruk.

Akal jugalah yang membezakan manusia dengan haiwan. Dengan memanfaatkan akal sesuai dengan tujuan sebenar Allah mengurniakannya, akan dapat menyempurnakan iman, agama dan akhlak manusia.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. - Surah Al-A'raf, Ayat 179
Allah SWT memuji hamba-Nya yang berakal dan menggunakan akal untuk berfikir. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di lautan membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 164)

Kejadian manusia walaupun berasal dari air mani yang hina, namun diberi kedudukan mulia lantaran dikurniakan akal. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin, ayat 4)

Namun, kemuliaan yang diperoleh itu hanya benar jika akalnya digunakan untuk berfikir dan merenung ciptaan Allah, meningkatkan keimanan, menolong agama-Nya dan membina kemuliaan akhlak.

Sebaliknya, kegagalan memanfaatkan kelebihan akal untuk memikirkan keagungan dan ciptaan Allah, serta mengabdikan diri kepada-Nya akan menyebabkan manusia itu dijatuhkan Allah tarafnya lebih hina daripada binatang.
Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah Al-A'raf, ayat 179)

Manusia di dunia ini sebenarnya berada di dua persimpangan antara runtunan hawa nafsu dan keimanan terhadap Allah SWT. Maka Allah mengurniakan akal untuk manusia berfikir, sama ada memilih keimanan yang membawa keredaan Allah atau kehendak nafsu yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Sebenarnya Allah mengurniakan akal supaya manusia memilih jalan kebaikan. Sebab itu manusia yang memilih beriman kepada Allah dan membuktikan keimanannya dengan amalan salih dikira orang berjaya.

Sebaliknya yang menurut hawa nafsu tidak terkawal sehingga terjerumus ke lembah maksiat, maka sangat buruk padahnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Kesihatan akal juga perlu penjagaan supaya kelebihan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Semua yang mengacaukan akal dan segala yang memabukkan adalah haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Penjagaan fungsi akal ialah dengan membanyakkan menimba ilmu pengetahuan bermanfaat sebagai makanan buat otak. Ilmu itu termasuk pengetahuan keagamaan dan segala ilmu yang berfaedah. Akal yang kosong adalah akal orang yang fasik.

Allah memerintahkan kita supaya mempergunakan akal untuk kemaslahatan dunia dan akhirat dan kehinaan bakal menimpa mereka yang menyalahgunakan akal fikiran. Firman Allah bermaksud: “Dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang yang tidak menggunakan akalnya.” (Surah Yunus, ayat 100)

Akal memang ada musuhnya iaitu syahwat, begitulah sebaliknya. Kedua-duanya saling berusaha untuk mengalahkan lawan masing-masing.

Kata Saidina Ali: “Akal adalah musuh syahwat. Ilmu menjaga akal dan keinginan itu memperkuat syahwat. Segala keinginan berkenaan saling berebut untuk jadi pemenang. Manusia yang paling utama di sisi Allah adalah yang menghidupkan akalnya, kemudian membunuh syahwatnya (yang mengajak kepada kejahatan) dan menyusahkan dirinya demi kebahagiaan akhirat.”

Orang yang berubah adalah orang yang mempergunakan akal fikiran, waktu dan tenaganya untuk semakin dekat dengan Allah kerana perubahan itu dekat kepada kejayaan, kebahagiaan dan kemuliaan.

Hendaknya, setiap masa berlalu harus ada ilmu yang masuk ke dalam akal kita, baik melalui pembacaan, pendengaran atau menghadiri majlis ilmu yang menjadikan akal lebih baik dari sebelumnya.



sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Manfaatkelebihanakalmampukekanghawanafsu/Article/index_html

Mengekalkan Akhlak Yang Baik

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.


Riwayat Abu Daud

Huraian Hadith:

1.Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.

2.Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

SUMBER JAKIM

SIKAP YANG BAIK

SIKAP YANG BAIK

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.

Riwayat Ibnu Abi Dunya


Huraian Hadith:

i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat।

ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya।

iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air। Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu। Bak kata pepatah Melayu Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

SUMBER JAKIM

Monday, January 9, 2012

Dengki Dan Irihati Biarlah Pada Tempatnya

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang
lain


Riwayat Hadith al-Bukhari


Huraian Hadith:

1. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan Sahaja.

2. Islam tidak membenarkan orang yang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Quran dan Hadith, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.

3. Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia melainkan didalam dua perkara:

i) Merasa iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya pula kepada orang lain.

ii) Orang yang dikurniakan harta dan membelanjakan hartanya itu dijalan yang diredhai oleh Allah.


SUMBER JAKIM





Menghayati

Menghayati

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:
Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis


Riwayat: (at-Tabrani)

HURAIAN

1. Perasaan khusyuk, takwa dan kehambaan kepada Allah S.W.T hendaklah dipupuk di dalam jiwa setiap individu Muslim. Ini dapat dicapai melalui pembacaan (tadabur) al-Quran, mengerjakan sembahyang, dan merenung (tafakur) tentang kejadian makhluk Allah di muka bumi ini.

2. Orang yang alim dan mempunyai sifat mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang akan tersentuh hatinya sebaik sahaja membaca atau mendengar ayat-ayat Allah dibaca. Begitu juga mereka akan terharu dan merasai keagungan Allah Yang Maha Besar apabila terpandangkan ciptaan-Nya yang begitu cantik dan mengagumkan.

3. Segalanya ini adalah tanda-tanda kemanisan dan kelazatan iman yang sebenarnya dan hanya dapat dirasai oleh hati-hati yang hidup iaitu hati yang sentiasa digilap dengan nur keimanan serta jauh daripada dosa dan maksiat. Inilah mukmin sejati di mana mata, hati dan seluruh anggotanya dikawal oleh akal yang mendapat hidayah daripada Allah. Ia tidak mati tapi sentiasa menghayati sebagaimana yang dianugerahkan kepada para rasul, wali dan salafussoleh yang mencintai Allah.

SUMBER JAKIM

Tuesday, March 1, 2011

Pemergiannya satu istirahat

Abu Qatadah Ibnu Rib'i al-Ansari r.a menerangkan bahawasanya satu jenazah telah dibawa berlalu di hadapan Rasulullah SAW maka berkatalah baginda :Orang yang beristirahat atau orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah orang yang pergi beristirahat dan siapakah orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya? Nabi menjawab : Hamba yang mukmin pergi beristirahat daripada kepayahan dunia dan gangguannya kepada rahmat Allah. Dan hamba yang fasiq, beristirahat daripadanya segala hamba Allah, negeri, pohon dan binatang.



Huraian Hadith:

Sesungguhnya orang yang meninggal dunia itu terdiri dari dua golongan iaitu golongan orang yang beriman meninggal dunia menuju ke suatu tempat yang aman yang membahagiakan. Mereka sudah terlepas daripada kepayahan dan ujian dunia menuju kepada rahmat Allah SWT. Sedangkan orang yang buruk akhlaknya, kematiannya itu merupakan satu kerehatan untuk penghuni dunia daripada terus berhadapan dengan kejahatan dan kemungkaran yang dilakukannya. Kematiannya dituruti dengan kesengsaraan dan balasan azab daripada Allah SWT.



Riwayat:

(al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, December 15, 2010

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Hadith :

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:"Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?"

 
 

(Muslim)


 

Huraian
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Jalan Ke Syurga


Jalan Ke Syurga
Hadith :

Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: "Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga."
 
 

(Muslim)
Huraian
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:" Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu." (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi 'tamak' untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menghormati Jenazah



Menghormati Jenazah
Hadith :
Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah! Sesiapa yang turut mengiringkannya ke kuburan, jangan duduk sampai jenazah itu diletakkan orang."
 

(Muslim)



Huraian
Orang yang meninggal hendaklah disegerakan pengkebumiannya. Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati sehinggalah jenazah selesai dikebumikan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut sedangkan tangisan dan ratapan yang berlebihan diharamkan di dalam Islam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia