Friday, January 13, 2012

“MENEMPUH GERBANG PERSEKOLAHAN ”.

"MENEMPUH GERBANG PERSEKOLAHAN ".

Minggu ini adalah minggu kedua anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah dua bulan mereka bercuti dari alam persekolahan ini. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang.

Dalam usaha membina insan yang cemerlang, maka hendaklah disepadukan antara ilmu pengetahuan dan pendidikan atau dikenali dengan kesepaduan antara ilmu dan tarbiah untuk melahirkan insan soleh. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak berwajib iaitu pemerintah, pihak sekolah dan ibu-bapa mestilah saling berkerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."


Hubungan yang sangat kuat bahawa penglibatan ibu-bapa dalam memajukan pendidikan anak-anak. Dengan demikian ibu-bapa tidak boleh menyerah secara bulat bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru semata-mata dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak. Ibu-bapa hendaklah memain peranan dan kerjasama rapat dengan pihak sekolah.


Ibu-bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak, jati diri dan kecemerlangan anak-anak. Bila tumpuan ibu-bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari awal kehidupan anak-anak sehinggalah mereka mencapai usia baligh. Dengan demikian mimbar menasihatkan para jemaah sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, ibu-bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun. Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan pelbagai gejala seperti rosak akidah, hilang kemulian akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka. Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.


Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri. Dalam hal ini ibu-bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan beberapa petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:


Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam subuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:


Latihlah dan didiklah anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika mereka berumur sepuluh tahun jika mereka enggan menunaikan sembahyang dan pisahkan tempat tidur mereka.

Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari,

Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin,

Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran,

Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak -anak dan

Keenam: Mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.

Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Sebagai ibu-bapa kita digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak, kerana doa ibu-bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi dari segala bencana. Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa kepada kedua cucunya Hasan dan Husin yang berbunyi:

Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna untuk kamu berdua daripada gangguan syaitan, daripada binatang dan daripada mata yang berniat jahat.


Walaupun kadang-kala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibu-bapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sebuah sekolah. Namun sebagai langkah positif, maka ibu-bapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan yang besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar mereka masing-masing. Oleh itu mimbar berpesan janganlah kita mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat berlapang dada apabila guru-guru menegur atau mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar mereka. Kita yakin tindakan guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak agar sedia berubah menjadi insan yang berguna. Kepada guru-guru jadikan tanggungjawab ini sebagai satu amanah yang wajib ditunaikan dengan sebaik mungkin. Ingatlah bahawa guru umpama bintang di langit yang menerangi alam semesta sebagaimana sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:


"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan". (Riwayat Anas bin malik)

Marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka.

sekalian marilah sama-sama kita tunaikan tanggungjawab sosial kita dengan membantu dan membela nasib pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak yang tidak berkemampuan supaya mereka juga dapat menghadapi sesi persekolahan yang baru ini dengan selesa dan sempurna. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:

Maksudnya:
" Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil. "



SUMBER JAKIM

Wednesday, January 11, 2012

Ayah Terima Kasih Atas Didikanmu

Ayah
Walaupun dirimu tiada lagi di sisi
Namun dirimu masih segar didalam ingatan
insyaAllah akhir hayatku.
Walaupun dirimu telah berada di alam lain
Namun diriku masih merasa dirimu sentiasa disisi.

Ayah yang telah mengajarku
erti kesabaran, erti sifat merendah diri.
Terima kasih ayah
insyaAllah akan ku ingat nasihatmu sampai bila-bila.

Dalam surah Luqman ayat 17-18

MAKSUDNYA:
Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (SURAH LUQMAN AYAT 17-18)

Terima kasih ayah ..
semoga dirimu disana diredhai ilahi
dan di tempatkan bersama orang-orang yang soleh.
Amin Ya rabb.


Dibawakan oleh: Pemangkin intelektual Kehidupan

BY:DALIL

Lima Nama Rasulullah

Lima Nama Rasulullah


Dari Jubair bin Muth'in, katanya:
Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ˜Aqib (penghabisan).

Riwayat: (Bukhari)


Huraian Hadith:

Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu, ditujukan kepada seorang muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w., atau ganti namanya atau pun pangkat kenabiannya juga pangkat kerasulannya. Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar daripada penyokong-penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat bahawa sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa yang tersebut maka ia telah melakukan dosa besar kerana banyak hadith yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w., telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda s.a.w., pada masa disebutkan nama atau ganti nama Baginda s.a.w. maka dialah sebakhil-bakhil manusia, dialah yang mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka sekiranya tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu, (sebagaimana yang tersebut dalam hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; Hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; Hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami).

SUMBER JAKIM

Banyakkan Bersabar

Banyakkan Bersabar


Daripada Anas r.a. katanya, Aku berjalan bersama- sama Rasulullah s.a.w. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu dengan seorang Arab badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu. Kemudian orang arab itu berkata: Wahai Muhammad perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu, Maka rasulullah s.a.w berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.


Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1.Rasulullah s.a.w adalah seorang yang pemaaf dan tidak suka membalas dendam serta tidak mudah marah.

2.Umat Islam hendaklah mencontohi sifat-sifat mulia tersebut kerana sifat-sifat ini mempunyai nilai-nilai kebaikan yang amat tinggi yang akan menimbulkan kesedaran kepada orang lain yang menerimanya.

3.Islam menggalakkan umatnya supaya bertindak dengan cara yang bijaksana apabila berhadapan dengan golongan yang jahil dan hendaklah menunjukkan sikap yang lemah lembut agar dapat menarik hati mereka kepada Islam.

SUMBER JAKIM

Tuesday, January 10, 2012

Manfaat kelebihan akal mampu kekang hawa nafsu

AKAL adalah potensi manusiawi yang penting dan simbol keistimewaan manusia kerana dianugerah Allah kelebihan sangat berharga. Allah mengurniakan akal sebagai neraca untuk manusia menimbang lalu memilih mana yang baik dan buruk.

Akal jugalah yang membezakan manusia dengan haiwan. Dengan memanfaatkan akal sesuai dengan tujuan sebenar Allah mengurniakannya, akan dapat menyempurnakan iman, agama dan akhlak manusia.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. - Surah Al-A'raf, Ayat 179
Allah SWT memuji hamba-Nya yang berakal dan menggunakan akal untuk berfikir. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di lautan membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 164)

Kejadian manusia walaupun berasal dari air mani yang hina, namun diberi kedudukan mulia lantaran dikurniakan akal. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin, ayat 4)

Namun, kemuliaan yang diperoleh itu hanya benar jika akalnya digunakan untuk berfikir dan merenung ciptaan Allah, meningkatkan keimanan, menolong agama-Nya dan membina kemuliaan akhlak.

Sebaliknya, kegagalan memanfaatkan kelebihan akal untuk memikirkan keagungan dan ciptaan Allah, serta mengabdikan diri kepada-Nya akan menyebabkan manusia itu dijatuhkan Allah tarafnya lebih hina daripada binatang.
Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah Al-A'raf, ayat 179)

Manusia di dunia ini sebenarnya berada di dua persimpangan antara runtunan hawa nafsu dan keimanan terhadap Allah SWT. Maka Allah mengurniakan akal untuk manusia berfikir, sama ada memilih keimanan yang membawa keredaan Allah atau kehendak nafsu yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Sebenarnya Allah mengurniakan akal supaya manusia memilih jalan kebaikan. Sebab itu manusia yang memilih beriman kepada Allah dan membuktikan keimanannya dengan amalan salih dikira orang berjaya.

Sebaliknya yang menurut hawa nafsu tidak terkawal sehingga terjerumus ke lembah maksiat, maka sangat buruk padahnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Kesihatan akal juga perlu penjagaan supaya kelebihan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Semua yang mengacaukan akal dan segala yang memabukkan adalah haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Penjagaan fungsi akal ialah dengan membanyakkan menimba ilmu pengetahuan bermanfaat sebagai makanan buat otak. Ilmu itu termasuk pengetahuan keagamaan dan segala ilmu yang berfaedah. Akal yang kosong adalah akal orang yang fasik.

Allah memerintahkan kita supaya mempergunakan akal untuk kemaslahatan dunia dan akhirat dan kehinaan bakal menimpa mereka yang menyalahgunakan akal fikiran. Firman Allah bermaksud: “Dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang yang tidak menggunakan akalnya.” (Surah Yunus, ayat 100)

Akal memang ada musuhnya iaitu syahwat, begitulah sebaliknya. Kedua-duanya saling berusaha untuk mengalahkan lawan masing-masing.

Kata Saidina Ali: “Akal adalah musuh syahwat. Ilmu menjaga akal dan keinginan itu memperkuat syahwat. Segala keinginan berkenaan saling berebut untuk jadi pemenang. Manusia yang paling utama di sisi Allah adalah yang menghidupkan akalnya, kemudian membunuh syahwatnya (yang mengajak kepada kejahatan) dan menyusahkan dirinya demi kebahagiaan akhirat.”

Orang yang berubah adalah orang yang mempergunakan akal fikiran, waktu dan tenaganya untuk semakin dekat dengan Allah kerana perubahan itu dekat kepada kejayaan, kebahagiaan dan kemuliaan.

Hendaknya, setiap masa berlalu harus ada ilmu yang masuk ke dalam akal kita, baik melalui pembacaan, pendengaran atau menghadiri majlis ilmu yang menjadikan akal lebih baik dari sebelumnya.



sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Manfaatkelebihanakalmampukekanghawanafsu/Article/index_html

Mengekalkan Akhlak Yang Baik

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.


Riwayat Abu Daud

Huraian Hadith:

1.Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.

2.Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

SUMBER JAKIM

SIKAP YANG BAIK

SIKAP YANG BAIK

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.

Riwayat Ibnu Abi Dunya


Huraian Hadith:

i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat।

ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya।

iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air। Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu। Bak kata pepatah Melayu Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

SUMBER JAKIM

Monday, January 9, 2012

Dengki Dan Irihati Biarlah Pada Tempatnya

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang
lain


Riwayat Hadith al-Bukhari


Huraian Hadith:

1. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan Sahaja.

2. Islam tidak membenarkan orang yang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Quran dan Hadith, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.

3. Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia melainkan didalam dua perkara:

i) Merasa iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya pula kepada orang lain.

ii) Orang yang dikurniakan harta dan membelanjakan hartanya itu dijalan yang diredhai oleh Allah.


SUMBER JAKIM





Menghayati

Menghayati

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:
Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis


Riwayat: (at-Tabrani)

HURAIAN

1. Perasaan khusyuk, takwa dan kehambaan kepada Allah S.W.T hendaklah dipupuk di dalam jiwa setiap individu Muslim. Ini dapat dicapai melalui pembacaan (tadabur) al-Quran, mengerjakan sembahyang, dan merenung (tafakur) tentang kejadian makhluk Allah di muka bumi ini.

2. Orang yang alim dan mempunyai sifat mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang akan tersentuh hatinya sebaik sahaja membaca atau mendengar ayat-ayat Allah dibaca. Begitu juga mereka akan terharu dan merasai keagungan Allah Yang Maha Besar apabila terpandangkan ciptaan-Nya yang begitu cantik dan mengagumkan.

3. Segalanya ini adalah tanda-tanda kemanisan dan kelazatan iman yang sebenarnya dan hanya dapat dirasai oleh hati-hati yang hidup iaitu hati yang sentiasa digilap dengan nur keimanan serta jauh daripada dosa dan maksiat. Inilah mukmin sejati di mana mata, hati dan seluruh anggotanya dikawal oleh akal yang mendapat hidayah daripada Allah. Ia tidak mati tapi sentiasa menghayati sebagaimana yang dianugerahkan kepada para rasul, wali dan salafussoleh yang mencintai Allah.

SUMBER JAKIM