Tuesday, September 14, 2010

Ciri-ciri Orang Munafik

Ciri-ciri Orang Munafik

Hadith :

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.

Riwayat Ahmad


Huraian
Pengajaran Hadith:

  1. Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.
  2. Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.
  3. Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.
  4. Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia



Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Hadith :

Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.


Riwayat Muslim

Huraian

  1. Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.
  2. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.
  3. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.
  4. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, September 13, 2010

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa



Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabipun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim) Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.

Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri. Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa. Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya." Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com) Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

Cara Tidur Nabi Dan Kajian Semasa.
Berapa jamkah yang diperlukan untuk tidur setiap malam? Nabi tidak menyebutkan kadar masanya secara khusus. Baginda sekadar menyebutkan: "Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas." (Bukhari-Muslim) dan di dalam riwayat yang lain, Baginda bersabda: "Hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk." (Bukhari-Muslim) Ini menunjukkan bahawa kadar masanya berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Yang penting ialah tidur yang menghilangkan rasa mengantuk dan menghasilkan kecergasan. Pakar-pakar tidur telah bersetuju bahawa keperluan tidur tidak sama bagi setiap orang. Tidur yang optima ialah kadar yang tidak mendatangkan rasa mengantuk ketika sedang memberikan tumpuan kepada sesuatu. Bagi sesetengah orang, kadar optimanya ialah 5-6 jam setiap malam. Namun biasanya bagi yang dewasa ialah 7-8 jam. (Michelle Moore: 'Catching Those ZZZZ's') Beberapa hadis Nabi telah meriwayatkan tentang cara tidur yang baik dan keji yang perlu diambilkira oleh seseorang: "Nabi telah melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas Bagindapun bersabda: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah." (Tarmuzi) "Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu hendaklah kamu mengambil wuduk seperti wuduk untuk bersembahyang. Kemudian baringlah di sebelah kanan." (Bukhari-Muslim) Berkata 'Abbad ibn Tamim: "Aku melihat Rasulullah di dalam masjid tidur menelentang sambil menyilangkan kaki Baginda." (Bukhari-Muslim)

Ibn Qaiyim telah merumuskan bahawa Nabi tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur.(At-Thib An-Nabawi oleh Ibn Qaiyim hal. 297) Dapat disimpulkan bahawa Nabi suka tidur mengiring ke sebelah kanan dan kadangkala secara menelentang. Baginda tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Dalam semua keadaan, zikir tidak pernah Baginda lupakan. Sekali lagi sains terpaksa akur tentang kebaikan cara tidur yang diamalkan Nabi ini. Saintis-saintis telah mendapati bahawa cara berbaring ketika tidur (sleeping postures) boleh memberi kesan kepada kesihatan. Untuk merihatkan badan di samping menjaga kesihatan tulang leher (cervical spine), pakar-pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan ketika tidur:

1. Mengiring ke lembung dengan meluruskan tulang belakang atau

2. Menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokan tulang leher.
(Intermountain Spine Institute (1999); 'Spine Self Care') Kedua-dua cara ini akan mencegah tulang leher daripada terseliuh (subluxation or mis-alignment of the neck). Di samping itu, dengan berlapikkan bantal yang sesuai ketika tidur, sakit leher, sakit belakang, tekanan saraf (pinched nerves) dan kerosakan kepada tulang belakang (wear of vertebrae and spinal column) akan dapat dicegah. Meniarap merupakan cara tidur yang boleh menimbulkan tekanan ke atas belakang dan leher seseorang. Tidur begini boleh menyebabkan serangan sakit urat saraf dan otot. (Spine Self Care; Ibid) Kesimpulannya. Ajaran Nabi tentang tidur, samada yang berkaitan dengan kepentingannya, tidur tengaharinya, cara berbaring dan lain-lainnya, adalah begitu saintifik sekali. Kajian kontemporari telah membuktikan tentang semua ini. Ini menunjukan bahawa ajaran Nabi adalah suatu ajaran yang seimbang yang boleh membawa manusia kepada keunggulan.





Sunday, September 12, 2010

Mengukur Tahap Kecintaan Terhadap Rasulullah




Mengukur Tahap Kecintaan Terhadap Rasulullah







Hadith :


Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata:” Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata:” Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:”Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!”

Riwayat Muslim


Huraian


  1. Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling berhak dicintai daripada sekalian makhluk di dunia ini.
  2. Mencintai baginda tidak mencukupi hanya dengan menyatakan dengan lisan tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan dan amal seperti mempraktikkan sunnahnya dan melaksanakan segala ajarannya.
  3. Orang yang sentiasa menjaga akhlaknya dan mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak akan mendapat ganjaran syafaat daripada baginda.
  4. Kita hendaklah berusaha untuk sentiasa menyuburkan iman di jiwa dan mempastikan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh baginda.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Saturday, September 11, 2010

Mati Dalam Perbuatan Syirik

Mati Dalam Perbuatan Syirik


Hadith :

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:“Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara: Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua, atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya”

Riwayat Hadith At-Tarmizi

Huraian

1. Umat Islam dilarang menangguh-nangguh dan berlambat-lambatkan amal ibadat yang diamanahkan kepada mereka.
2. Kekayaan dan kemiskinan tidak menghalang seseorang itu menambah amalan untuk beribadat kepada Allah kerana kekayaan dan kemiskinanan merupakan satu dari ujian kehidupan.
3. Terdapat setengah golongan yang menjadi sibuk dan leka dengan kekayaan dan ada pula menjadi kufur disebabkan hidup menjadi fakir.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia




Keyakinan dalam Berdoa


Keyakinan dalam Berdoa

Hadith :

Dari Anas r.a katanya:”Rasulullah saw bersabda:”Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah:”Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.”

Huraian

Sesorang muslim itu hendaklah bersemangat (untuk mencapai) apa yang bermanfaat untuk dirinya serta meminta pertolongan kepada Allah tanpa merasa lemah dan putus asa. Berdoa mestilah mengikut adab-adabnya supaya menampakkan kesungguhan harapan untuk mendapatkan sesuatu kerana Allah SWT hanya akan menerima doa dari orang yang betul-betul berhajat.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Thursday, September 9, 2010

Tujuh Golongan Insan Contoh

Tujuh Golongan Insan Contoh

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”

Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah

Huraian
Pengajaran hadis:
i) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :

a) Pemerintah yang adil- Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.
b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya – Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.
c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
- Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.
d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah
- Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”
- Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.
f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya
-Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu.
g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah
- Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Amalan Di Malam Hari Raya

Amalan Di Malam Hari Raya

Hadith :

Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: “ Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.”

(Ibnu Majah)

Huraian
1. Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan Takbir dan Tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang-orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah S.W.T.
2. Sebaliknya orang-orang yang kufur engkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa dengan sebuiruk-buruk balasan.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia