Monday, October 4, 2010

Tiada Kompromi Dalam Maksiat

Tiada Kompromi Dalam Maksiat


Hadith :

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata:"Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya. Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya'-Nya."

 
 

Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi


 

Huraian

  1. Allah SWT melarang kita daripada bertolak ansur dan berkompromi dalam perbuatan maksiat kerana perkara tersebut merupakan suatu dosa besar dan mengundang laknat daripada-Nya.
  2. Segala kebaikan dan kesenangan yang diperolehi adalah rahmat daripada Allah SWT. Oleh itu, sebagai hamba-Nya kita wajib bersyukur dengan melakukan ketaatan dan menjauhi sebarang perbuatan maksiat kerana melakukan maksiat adalah sifat hamba yang tidak tahu bersyukur.
  3. Sesungguhnya apa jua yang kita perolehi yang berupa kebaikan segalanya adalah daripada Allah SWT dan apa jua keburukan yang menimpa maka itu adalah disebabkan diri kita sendiri disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukan.


 

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Batasan Dalam Bergurau Senda

Batasan Dalam Bergurau Senda


 

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !"

 
 

Riwayat Abu Daud

Huraian :

  1. Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.
  2. Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.
  3. Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:


    a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
    b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
    c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
    d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
    e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
    f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
    g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
    iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

sumber:Jakim

Sunday, October 3, 2010

“HATI SEORANG IBU”

“HATI SEORANG IBU”

Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat ke-dua selepas mentaati Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. telah mewajibkan anak-anak memulia dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’:23)

Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.

Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 14:

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”

Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka di kasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.

Dalam hal ini, Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?. Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

Antaranya ada yang menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu sebagai orang gaji, malah ada yang sanggup memukul ibu. Apa yang ganjilnya, ada segelintir dari kalangan kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan.

Insaflah, perbuatan menderhakai ibu bapa akan mendatangkan kecelakaan kepada kita di dunia dan di akhirat. Di dunia kita akan menerima giliran diderhakai oleh anak-anak kita, dan begitulah seterusnya. Manakala di akhirat akan menerima kemurkaan Allah Azza Wajalla. Ini selaras dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Mafhumnya: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”

Bersegera mengubat kerinduan ibu sebelum mereka didatangi ajal. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja. Inilah kewajipan anak-anak yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Sural al-Israa’:24)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Jauhi fitnah

Jauhi fitnah


 

Hadith :


 

Dari Zainab ats-Thaqafiy r.a katanya:'Apabila kamu (para wanita) mengikuti solat Isya' berjamaah di masjid, maka janganlah memakai harum-haruman ketika itu."

 
 

(Muslim)


 

Huraian


Berbanding lelaki, aurat wanita lebih sukar dijaga. Ini kerana lelaki boleh menunaikan solat dengan hanya berkain pelikat kerana auratnya setakat antara lutut hingga ke pusat. Tetapi, aurat wanita meliputi pelbagai anggota badan daripada kaki hingga rambut. Tarikan nafsu bukan sahaja daripada cara seseorang itu berpakaian malah peranan minyak wangi atau haruman yang dipakai juga boleh menimbulkan ransangan lelaki terhadap seseorang wanita. Oleh itu Islam mengharamkan para wanita memakai wangian yang semerbak baunya sehingga dapat membangkitkan syahwat dan menarik perhatian lelaki sehingga menimbulkan fitnah sekalipun dalam konteks hendak mengerjakan ibadah seperti memakai haruman ketika hendak mengerjakan solat berjamaah yang terdapat lelaki bukan muhrim bersama-sama mengerjakan solat. Kesimpulannya, Islam membolehkan seorang perempuan muslimah itu keluar rumah untuk pergi bersembahyang, mencari ilmu, melaksanakan keperluan dan sebagainya tetapi dengan syarat perempuan itu dapat menjaga maruahnya dan adab kesopanan yang telah digariskan oleh Islam agar dengan itu mereka terhindar daripada fitnah mahupun mara bahaya dan bencana yang menimpa seperti jenayah rogol, khianat dan seumpamanya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sujud syukur

Sujud syukur


 

Hadith :


 

Dari Abu Bakar r.a bahawa "Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan baginda terus sujud kepada Allah."

 
 

(Ahmad )


 

Huraian

  1. Apabila mendapat sesuatu nikmat yang meliputi sebarang perkara yang baik dan mengembirakan sunat kita melakukan sujud syukur.
  2. Sujud ini juga sunat dikerjakan apabila kita melihat sesuatu bala bencana dan kita diselamatkan daripadanya.
  3. Cara melakukan sujud syukur itu ialah dengan sujud sekali sahaja dan dilakukan di luar sembahyang.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Saturday, October 2, 2010

Beradab Ketika Minum

Beradab Ketika Minum

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali, membaca bismillah bila mula minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai."

 
 

(at-Tirmidzi)


 

Huraian :

  1. Islam mementingkan adab dan sopan dalam segala perkara termasuklah makan dan minum.
  2. Ketika makan kita ditegah daripada gelojoh begitu juga ketika minum hendaklah minum dengan perlahan dan jangan bernafas dalam bekas minuman serta dilarang juga minum sambil berdiri. Semua ini kerana mengambilkira faktor kesihatan dan kebersihan disamping dapat mencerminkan tatatertib yang sopan bagi seorang Islam.
  3. Mengecap rezeki yang dimakan atau diminum sebaik-baiknya ialah dengan membaca bismillah sebagai memuji Allah S.W.T yang mengurniakan rezeki dan mengucapkan alhamdulillah sebagai mensyukuri nikmat yang telah diberikan itu.

Thursday, September 30, 2010

Bangkai haram dimakan

Bangkai haram dimakan


 

Abu Waqid r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apa-apa yang dipotong dari binatang ketika ia masih hidup, maka ia adalah bangkai."

 
 

(HR Abu Daud)

Huraian :

Perkataan 'bangkai' diterjemahkan daripada maitah, iaitu satu daripada tujuh kalimah yang terbit daripada kata dasar mim wau ta, yang amnya bererti mati. Bangkai bermaksud binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada suatu pun usaha manusia yang sengaja menyembelih atau membunuhnya dengan cara berburu. Bangkai sahaja terhad pada haiwan yang tidak disembelih. Contohnya seekor lembu yang telah disembelih jika dibiarkan mati begitu sahaja sehingga berbau busuk dan berulat, maka ia dikategorikan sebagai bangkai juga. Binatang yang dicekik, dipukul, jatuh dari kedudukan yang tinggi, ditanduk atau kerana dimakan binatang buas, semuanya juga termasuk dalam pengertian bangkai. Begitu juga binatang yang disembelih untuk berhala, bukan kerana Allah juga mempunyai pengertian yang sama. Terdapat beberapa hikmah mengapa bangkai diharamkan untuk dimakan iaitu:


 

  • Naluri manusia yang sihat tidak akan tergamak memakai bangkai kerana ia dianggap kotor. Bahkan ia juga merupakan perbuatan yang merendahkan darjat manusia. Justeru semua agama Samawi menganggap bahawa bangkai adalah makanan yang haram. Ia tidak boleh dimakan kecuali yang mati kerana disembelih, meskipun berbeza cara sembelihan itu.
  • Supaya manusia membiasakan diri melakukan sesuatu dengan niat dan usaha iaitu menangkap binatang dengan niat hendak menyembelihnya dengan tujuan hendak memakannya.
  • Umumnya binatang yang mati dengan sendirinya adalah mati kerana sesuatu sebab iaitu mungkin kerana penyakit atau kerana termakan tumbuh-tumbuhan beracun dan sebagainya. Semua ini sudah tentu akan membahayakan manusia.
  • Allah mengharamkan bangkai kepada kita kerana hal tersebut memberi kesempatan kepada haiwan atau binatang lain memakannya sebagai rezeki mereka dan tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-makhluk-Nya.


    Supaya manusia memberi perhatian terhadap binatang-binatang peliharaan mereka dan tidak membiarkan binatang itu diserang oleh penyakit sehingga mati. Sebaliknya ia hendaklah segera diberikan rawatan yang sepatutnya


 

Wednesday, September 29, 2010

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Dari Abu Hurairah r.a katanya,:Rasulullah SAW bersabda:"Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya:" Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (al-Mukminun:51) "Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu..."(al-Baqarah:172) Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:"Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! ". Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya."

 
 

(Muslim)

Huraian :

  1. Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab-adab dan syarat-syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah SWT
  2. Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk dari ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah segala apa yang dipohon akan dikabulkan Allah.
  3. Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara yang lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut .." (al-A'raf : 55)
  4. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:"Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa." (at-Tabrani).


 

Sumber jabatan kemajuan islam malaysia

Tuesday, September 28, 2010

Larangan Meminta-minta Mati

Larangan Meminta-minta Mati


 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: " Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku."

 
 

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian :

Pengajaran hadith:

i) Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
ii) Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
iii) Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.


 

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia