Wednesday, December 15, 2010

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Hadith :

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:"Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?"

 
 

(Muslim)


 

Huraian
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Jalan Ke Syurga


Jalan Ke Syurga
Hadith :

Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: "Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga."
 
 

(Muslim)
Huraian
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:" Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu." (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi 'tamak' untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menghormati Jenazah



Menghormati Jenazah
Hadith :
Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah! Sesiapa yang turut mengiringkannya ke kuburan, jangan duduk sampai jenazah itu diletakkan orang."
 

(Muslim)



Huraian
Orang yang meninggal hendaklah disegerakan pengkebumiannya. Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati sehinggalah jenazah selesai dikebumikan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut sedangkan tangisan dan ratapan yang berlebihan diharamkan di dalam Islam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Saturday, November 27, 2010

Umat Yang Sentiasa Menang

Umat Yang Sentiasa Menang


Hadith :

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu memperjuangkan yang hak. Mereka selalu menang sampai hari kiamat.


Huraian
Islam bukan sekadar suatu perkataan yang disebut oleh lidah sahaja, bukan pula bererti kelahiran seseorang di dalam sebuah negara tertentu yang disebut sebagai negara Islam dan mempunyai lambang keislaman, juga tidak bererti kelahiran seorang yang ibu bapanya muslim. Kita sering membicarakan tentang Islam akan menang, Islam akan tertegak tetapi apakah yang kita lakukan untuk menuju ke arah itu? Perjuangan menegakkan Islam masih belum berakhir. Di manakah kita ketika saudara-saudara kita dihina, diinjak-injak, disembelih, diperkosa? Pernahkah kita kenangkan nasib mereka walau sedetik? Pernahkah lidah mengucapkan doa kemenangan untuk mujahid-mujahid Islam ini? Apakah sumbangan kita untuk mereka? Sebenarnya bangsa atau umat yang menjadi pilihan Allah yang akan sentiasa diberikan kemenangan ialah bangsa MUSLIM yang hidupnya terus memperjuangkan agama Allah sekalipun mereka berlainan bangsa dan warna kulit. Inilah konsep yang unggul mengenai negara dan rupa bangsa yang sentiasa beroleh kemenangan dan kekal merdeka.


Sumber:Jakim

Memutuskan Silaturahim; Satu Dosa Besar

Memutuskan Silaturahim; Satu Dosa Besar

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim"

 
 

Riwayat al-bukhari


Huraian
Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.
 

  1. Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:" Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari."
  2. Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.
  3. Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.
  4. Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.

Sumber:Jakim

Kesempurnaan iman

Kesempurnaan iman

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka."

 
 

Riwayat At - Tirmidzi


 

Huraian

  1. Kesempurnaan iman seseorang itu adalah dinilai dari segi akhlaknya yang mulia.
  2. Para suami dituntut oleh Islam supaya berlaku adil dan baik terhadap isteri serta bijaksana dalam mengendalikan urusan rumahtangga.
  3. Asas keluarga bahagia adalah membentuk keluarga dengan sifat takwa dan mempunyai ilmu pengetahuan dunia dan akhirat


 

Sumber:jakim

Tipu Daya




Hadith :

Dari Huzaifah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:"Dajal selalu membawa air dan api. Api itu sebenarnya adalah air sejuk, sedangkan air sebenarnya adalah api. Kerana itu waspadalah kamu agar tidak celaka.

 
(muslim)




   
Huraian
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai." Dari Jabir bin Abdullah pula katanya, Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Sumber:jakim






Bangkai Haram Dimakan

Bangkai Haram Dimakan


Hadith :

Abu Waqid r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apa-apa yang dipotong dari binatang ketika ia masih hidup, maka ia adalah bangkai."


(HR Abu Daud)


Huraian

Perkataan 'bangkai' diterjemahkan daripada maitah, iaitu satu daripada tujuh kalimah yang terbit daripada kata dasar mim wau ta, yang amnya bererti mati. Bangkai bermaksud binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada suatu pun usaha manusia yang sengaja menyembelih atau membunuhnya dengan cara berburu. Bangkai sahaja terhad pada haiwan yang tidak disembelih. Contohnya seekor lembu yang telah disembelih jika dibiarkan mati begitu sahaja sehingga berbau busuk dan berulat, maka ia dikategorikan sebagai bangkai juga. Binatang yang dicekik, dipukul, jatuh dari kedudukan yang tinggi, ditanduk atau kerana dimakan binatang buas, semuanya juga termasuk dalam pengertian bangkai. Begitu juga binatang yang disembelih untuk berhala, bukan kerana Allah juga mempunyai pengertian yang sama. Terdapat beberapa hikmah mengapa bangkai diharamkan untuk dimakan iaitu:


• Naluri manusia yang sihat tidak akan tergamak memakai bangkai kerana ia dianggap kotor. Bahkan ia juga merupakan perbuatan yang merendahkan darjat manusia. Justeru semua agama Samawi menganggap bahawa bangkai adalah makanan yang haram. Ia tidak boleh dimakan kecuali yang mati kerana disembelih, meskipun berbeza cara sembelihan itu.
• Supaya manusia membiasakan diri melakukan sesuatu dengan niat dan usaha iaitu menangkap binatang dengan niat hendak menyembelihnya dengan tujuan hendak memakannya.
• Umumnya binatang yang mati dengan sendirinya adalah mati kerana sesuatu sebab iaitu mungkin kerana penyakit atau kerana termakan tumbuh-tumbuhan beracun dan sebagainya. Semua ini sudah tentu akan membahayakan manusia.
• Allah mengharamkan bangkai kepada kita kerana hal tersebut memberi kesempatan kepada haiwan atau binatang lain memakannya sebagai rezeki mereka dan tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-makhluk-Nya.
Supaya manusia memberi perhatian terhadap binatang-binatang peliharaan mereka dan tidak membiarkan binatang itu diserang oleh penyakit sehingga mati. Sebaliknya ia hendaklah segera diberikan rawatan yang sepatutnya

Sumber : jakim

Bersedekah Sebagai Tanda Bersyukur Dengan Rezeki Kurniaan Allah

Bersedekah Sebagai Tanda Bersyukur Dengan Rezeki Kurniaan Allah


 


Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya."

 
 

Riwayat Bukhari dan Muslim


 

Huraian


Pengajaran hadith:


  1. Amalan memberi sedekah disifatkan sebagai penebus dan pelupus dosa dan ia merupakan pintu kebajikan yang boleh menghalang daripada api neraka. Orang yang suka bersedekah menunjukkan dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah di mana ia merupakan kunci utama ketenangan dan kebahagian hidup di dunia.
  2. Aspek yang terpenting dalam bersedekah ialah keikhlasan niat bahawa amalan itu adalah kerana Allah S.W.T semata-mata, tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kononnya kita adalah seorang yang pemurah dan sebagainya.
  3. Tidak sewajarnya kita bersedekah kepada orang lain, sedangkan keperluan diri dan keluarga sendiri diabaikan. Oleh itu sebaik-baik cara bersedekah ialah ia dimulakan dengan orang yang di bawah tanggungan sendiri, keluarga dan sanak saudara kerana memberi kepada orang yang berhak itu adalah lebih utama.
  4. Bersedekah sesungguhnya akan memuliakan maruah seseorang sebaliknya meminta sedekah akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam menggalakkan umatnya agar berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, bukan mengharapkan belas kasihan orang lain.

Sumber: jakim