Syidatina Fatimah r.ha : Penghulu Wanita Syurga
Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya
terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu,
dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti
memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.
Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat
beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja
menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang
Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT.
Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula
dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari,
suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.
Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang
sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas
kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW.
Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat
sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar
Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan
Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam
bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh
suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya.
Namun dia
tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian
mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha,
saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan
dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang
dibangunkan.
Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil
menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin,
Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air,
berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang
40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik.
Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan
tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.
Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar
gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah
yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu
kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung,
mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar
Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh
disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas
terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu,
sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu
di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah
payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka
inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan
janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang
apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa
ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat
darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan
dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga
menyusah-nyusahkan suaminya.
Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk
selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada
orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain
menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari
pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering
kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina
Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa
kepada janda dan anak yatim' di Madinah.
Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina
Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya,
Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila
dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan
berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia
'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina
Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.
"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak
memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu,"
Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu
sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami
yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa
seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat
berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah
disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah,
meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang
menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu
terhadapnya.
Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka
Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan
Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir
tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah
jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu
Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang
membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang
membuatkannya tersenyum.
Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita
kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah
orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa',
gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan
setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di
Perkuburan Baqi', Madinah.
Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam
al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat
begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya
akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan
wanita-wanita agung yang lain.
Mereka tidak sempat berlaku sombong serta
membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan
kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa
merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri),
tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka
agar bertaqwa kepada Allah SWT.
Justeru, wanita yang berjaya di dunia
dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa
terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat
bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.
No comments:
Post a Comment