Showing posts with label Health. Show all posts
Showing posts with label Health. Show all posts

Tuesday, September 21, 2010

"MAKANAN BERZAT BENTUK UMAT PINTAR"

MAKANAN BERZAT BENTUK UMAT PINTAR

Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan yang halal lagi bersih. Halal sumber dan bersih ain serta zat sesuatu makanan itu memberi kesan yang mendalam kepada umat Islam terhadap tubuh badan, jiwa, emosi, dan akal. Antara kesan yang paling ketara ialah kejernihan akal fikiran yang mampu mengungkap dan menyelesaikan permasalahan umat dan dunia.

Otak mempunyai kekuatan yang amat menakjubkan. Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya satu peratus dari keseluruhan keupayaan otak yang sebenar. Malah penyelidikan mereka mendapati kita menggunakan kurang dari satu peratus dari kemampuan otak yang sebenar. Hasilnya, jiwa menjadi lemah dan pesimis, akal menjadi lembab dan kuasa fikiran menurun serta gangguan emosi.

Walau bagaimanapun keadaan ini berbeza kepada bangsa Yahudi. Mereka memiliki tahap kepintaran melebihi umat Islam. Sejak dahulu bangsa Yahudi mendepani dan menguasai pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains, seni, dan yang paling ketara bidang perniagaan. Hampir 70 peratus perniagaan di dunia di kuasai oleh mereka dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, dan sebagainya.

Persoalan besar timbul di sini ialah bagaimanakah bangsa Yahudi boleh mencapai tahap kepintaran sebegitu?. Menurut kajian sarjana barat, bangsa Yahudi telah mendidik anak-anak mereka sejak dari dalam perut sehingga ke peringkat universiti. Apa yang menarik ialah kesungguhan mereka menjaga pemakanan ke arah meningkatkan daya fikir yang tajam. Walau bagaimanapun, Islam telah lebih dahulu memperkatakan kepentingan makanan untuk fikiran manusia.

Allah SWT telah menganugerahkan kita pelbagai sumber makanan yang berkhasiat dan berzat. Ada makanan yang memberi kesan cepat terhadap kecergasan otak dan ada makanan yang lambat atau tidak memberi sebarang kesan sedikit pun. Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang halal lagi bersih seimbang, berzat, dan berjadual.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172:


Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya."

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita memakan makanan yang baik. Menurut Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur'an al-A'zim, makanan yang baik ialah sesuatu yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal. Pakar pemakanan telah mengenalpasti bahawa bagi membantu akal sihat, kita hendaklah memakan makanan yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak, air, mineral, dan vitamin seperti A, B, C, D, E dan K.

Makan dan minum adalah antara ibadah yang penting dalam Islam kerana ia dapat membina akhlak terpuji dan membangunkan akal insan soleh. Dalam hal ini, Allah SWT telah memberi panduan pemakanan kepada umat Islam berlandaskan konsep 'memberi kemudahan, menjaga nyawa, jaminan kesihatan tubuh badan dan akal'. Pengambilan makanan yang tidak diberkati dan tidak berzat mendatangkan kesan buruk pada akal serta mudah terlibat dalam gejala sosial seperti amalan rasuah, pecah amanah, perjudian, penipuan, pengkhianatan, dan sebagainya.

Manakala pemakanan dari sumber rezeki yang halal, baik dan berzat adalah lebih disukai serta dirahmati oleh Allah SWT. Ini kerana hati kita menjadi bersih dan akal kita menjadi bijak serta memudahkan pekerjaan kita. Sebagai bukti kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap nikmat makanan, maka kita wajib memilih makanan yang disarankan dalam Islam.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Ahmad, Nasai'e, dan Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:


Mafhumnya: "Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Sekiranya ia (makan) memadai dengan suapan yang kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbinya (tulang belakangnya). Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga minuman, dan sepertiga nafasnya."

sekiranya umat Islam kembali kepada gaya pemakanan dan adab-adab makan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka zat makanan tadi menyumbang kepada ibadah, menyihatkan badan, dan memberi kepintaran kepada akal. Antara adab dan gaya pemakanan tersebut adalah sepertiga dengan makanan, sepertiga dengan air, dan sepertiga lagi untuk bernafas.

Dibimbangi jika kita tidak menjaga adab-adab ini, akan menyukarkan kita bernafas, lemah daya fikir, dan mendatangkan mudarat pada diri. Menurut pandangan pakar perubatan Arab, Harith bin Kalwah bahawa berpantang dan berjaga-jaga dalam pemakanan adalah ibu segala ubat, dan banyak makan itu ibu segala penyakit.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:


Mafhumnya: "Orang mukmin makan dengan satu perut manakala orang kafir dengan tujuh perut."

Hadith ini menjelaskan bahawa orang mukmin makan mengikut adab syarak iaitu sepinggan yang sederhana, tidak seperti orang kafir yang makan sehingga tujuh pinggan mengikut selera nafsu. Apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW itu adalah menuntut kita agar bersederhana dan menjauhkan diri daripada penyakit zahir dan batin seperti sifat tamak, mementingkan diri sendiri, dan sebagainya.

pemakanan kita ke arah yang halal, berkat lagi berzat mengikut saranan Islam agar akal kita sentiasa sihat melalui langkah berikut:

Pertama: wajib memelihara kesihatan akal dan hati supaya dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna;

Kedua: memelihara kesihatan perut dengan baik dan tidak diisi mengikut nafsu;

Ketiga: hendaklah berjaga-jaga dengan makanan yang diambil

Keempat: umat Islam dituntut bersederhana dalam semua perkara.


Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 31:


Maksudnya:
"
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas."


Sumber:jakim(khutbah)


Saturday, August 21, 2010

12 Kunci Kekuatan Minda

kekuatan minda

Kekuatan minda adalah merupakan idaman setiap manusia. Inilah kemampuan yang membawa kepada penemuan teknologi baru, kemajuan negara, kekuatan ekonomi dan keharmonian masyarakat. Apabila kekuatan intelektual sesuatu masyarakat itu tinggi, masyarakat itu akan menjadi maju.


Demikian juga untuk mana-mana individu, sesiapa yang akalnya cerdas dan kuat, dengan izin Allah dia akan sentiasa maju ke depan dalam segala aspek kehidupannya.
  1. Jaga iman dan amal.
    Iman yang kuat serta amal soleh yang bertimbun-timbun akan mendatangkan keredhaan Allah dan ketenangan hati. Sudah tentu ini resepi tepat untuk pembentukan minda yang kuat. Tengoklah para ilmuan hebat kita terdahulu, dan lihatlah amal soleh yang mereka perbuat, bukankah di situ ada hubungkait yang kuat antara ketajaman akal dengan iman serta kekerapan amal soleh.

  2. Luaskan pembacaan.
    Apabila anda lebih banyak membaca, pengetahuan anda akan makin luas. Pengetahuan adalah modal untuk berfikir. Batasan pemikiran bergantung kepada ilmu yang ada. Maknanya, lagi banyak yang anda tahu, lagi luaslah pemikiran anda.

  3. Semangat inkuiri yang tinggi.
    Apabila fikiran anda banyak ingin tahu tentang itu dan ini, secara tidak langsung ini bermakna minda anda sedang berfikir, menyusun dan mencari informasi. Apabila anda jumpa jawapan bagi persoalan-persoalan itu, maka proses ini menjadi lengkap. Faedahnya di sini ialah, maklumat yang dicari melalui proses sebegini akan lebih lama disimpan. Dalam erti kata lain, maklumat yang dicari secara aktif lebih mudah untuk diingat berbanding maklumat yang diterima secara pasif. Sebab itulah kita wajar menjadi orang yang ada semangat ingin tahu dan rajin bertanya. Sebab itulah juga kita patut galakkan dan suka jika anak-anak rajin bertanya dan kita perlu cuba jawab soalan-soalan mereka itu, bukannya naik melenting atau malas melayan.

  4. Carilah pengalaman sebanyak-banyaknya. Dikatakan oleh seorang a'lim, pengalaman adalah guru terbaik. Ini sangat benar. Apabila anda melalui sendiri sesuatu pengalaman, anda dapat belajar begitu banyak perkara dan mematangkan cara anda berfikir. Orang-orang senior yang lebih luas pengalamannya selalunya lebih cerdik dalam membuat keputusan, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan bidang mereka.

  5. Rajin berfikir.
    Apabila minda digunakan selalu, ia menjadi kuat. Apabila malas menggunakannya, ia menjadi lemah. Konsepnya memang ringkas: berfikir adalah senaman untuk otak.

  6. Berfikiran optimis.
    Banyak kajian psikologi yang menunjukkan faedah besar orang-orang yang berfikiran optimis. Sebab itu kita tidak hairan dalam Islam sendiri kita diperintahkan untuk berfikiran optimis, seperti perintah Allah supaya jangan putus asa dengan rahmat Allah, bahawa dosa-dosa akan diampunkan jika kita bertaubat bersungguh-sungguh, bahawa mereka yang bertaqwa akan diberikan jalan keluar daripada masalah dan lain-lain. Apa jua jenis pemikiran optimis akan menggalakkan pembentukan minda yang positif.

  7. Bina bakat atau hobi.
    Adakah anda mempunyai bakat atau hobi? Jika tidak, binalah sekurang-kurangnya satu. Bakat atau hobi, selagimana dalam hal-hal yang halal, akan membantu membentuk minda. Apabila anda berbakat dalam hal-hal seni dan kreativiti seperti bertukang, rekacipta, berpuisi dan sebagainya, otak kanan anda akan makin berkembang. Sedangkan bakat yang memerlukan pemikiran tajam seperti programming, rekabentuk web, penciptaan robotik dan sebagainya akan menguatkan otak kiri pula. Bakat dalam sukan-sukan, terutamanya yang teknikal, contohnya seperti sukan badminton dan pingpong, boleh menguatkan kedua-dua otak kanan dan kiri. Prinsipnya, lebih banyak otot badan yang digunakan untuk sesuatu sukan, lebih banyaklah bahagian otak yang akan dirangsang.

  8. Senaman dan bersukan.
    Tidak terkira betapa banyak sekali faedah senaman. Selain membantu membakar lemak, menurunkan paras glukosa dalam darah serta tekanan darah, senaman merangsang rembesan hormon endorphin yang mendatangkan kesan anti-stress, justeru mendatangkan perasaan gembiraan. Bersukan, terutamanya bagi yang teknikal dan susah untuk dikuasai, akan membantu merangsang aktiviti otak.

  9. Bersosial.
    Kajian terkenal perubatan Framingham mendapati, individu yang bergaul dengan kawan-kawan adalah lebih gembira berbanding mereka yang kurang bergaul. Lagi banyak kawan yang kita ada, lagi positif mood kita, dan ini akan membantu perkembangan minda. Orang yang kesedihan, atau kebosanan, lebih susah hendak berfikir dengan tajam berbanding mereka yang mempunyai minda positif. Sudah tentu, galakan bersosial di sini ada batasnya. Jauhi pergaulan bebas lelaki-wanita dan rapatilah kawan-kawan yang soleh.

  10. Jangan merokok.
    Merokok adalah haram di sisi agama. Dari segi kesihatan, ia melumpuhkan daya ingatan dan tumpuan, merosakkan jantung, hati dan paru-paru serta banyak lagi keburukannya yang lain..Penting untuk kita fahami, rokok menurut sifatnya memang tepat diklasifikasikan sebagai dadah.

  11. Tidur yang betul dan cukup.
    Otak pun perlukan rehat yang cukup untuk mencapai tahap optimum. Apabila tidur anda tidak berkualiti, contohnya seperti tidur berdengkur, tidak cukup tidur, tidur dengan postur yang salah dan sebagainya; fungsi otak pun akan terjejas selain mendatangkan keletihan di siang hari.

  12. Bijak tangani stress.
    Stress akan mendatangkan beban kepada otak, menyebabkan anda akan menjadi pesimis dan rasa tertekan sekaligus membantutkan pemikiran dan kualiti kerja anda. Cara terbaik untuk menangani stress ialah untuk mengelaknya daripada berlaku. Anda dapat mengelak daripada stress jika anda pandai menguruskan masa dan kerja kerana stress biasanya berpunca daripada kerja yang terlalu banyak, kegagalan menguruskan tugas dan kesibukan melampau. Jika anda mendapat stress, kenalpasti punca masalah yang menyebabkan stress itu dan tanganilah ia dengan sistematik, dan jangan lupa doa dan tawakal kepada Allah ta'ala.

Sunday, December 27, 2009

Rahsia Di Sebalik Senyum

  1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.
  2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupayamenceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.
  3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.
  4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.
  5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.
  6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
  7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.
  8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .
  9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).
  10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.
  11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.
  12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.
  13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.
  14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.
  15. Pujangga menyebut :" SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA".