Thursday, September 30, 2010

Bangkai haram dimakan

Bangkai haram dimakan


 

Abu Waqid r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apa-apa yang dipotong dari binatang ketika ia masih hidup, maka ia adalah bangkai."

 
 

(HR Abu Daud)

Huraian :

Perkataan 'bangkai' diterjemahkan daripada maitah, iaitu satu daripada tujuh kalimah yang terbit daripada kata dasar mim wau ta, yang amnya bererti mati. Bangkai bermaksud binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada suatu pun usaha manusia yang sengaja menyembelih atau membunuhnya dengan cara berburu. Bangkai sahaja terhad pada haiwan yang tidak disembelih. Contohnya seekor lembu yang telah disembelih jika dibiarkan mati begitu sahaja sehingga berbau busuk dan berulat, maka ia dikategorikan sebagai bangkai juga. Binatang yang dicekik, dipukul, jatuh dari kedudukan yang tinggi, ditanduk atau kerana dimakan binatang buas, semuanya juga termasuk dalam pengertian bangkai. Begitu juga binatang yang disembelih untuk berhala, bukan kerana Allah juga mempunyai pengertian yang sama. Terdapat beberapa hikmah mengapa bangkai diharamkan untuk dimakan iaitu:


 

  • Naluri manusia yang sihat tidak akan tergamak memakai bangkai kerana ia dianggap kotor. Bahkan ia juga merupakan perbuatan yang merendahkan darjat manusia. Justeru semua agama Samawi menganggap bahawa bangkai adalah makanan yang haram. Ia tidak boleh dimakan kecuali yang mati kerana disembelih, meskipun berbeza cara sembelihan itu.
  • Supaya manusia membiasakan diri melakukan sesuatu dengan niat dan usaha iaitu menangkap binatang dengan niat hendak menyembelihnya dengan tujuan hendak memakannya.
  • Umumnya binatang yang mati dengan sendirinya adalah mati kerana sesuatu sebab iaitu mungkin kerana penyakit atau kerana termakan tumbuh-tumbuhan beracun dan sebagainya. Semua ini sudah tentu akan membahayakan manusia.
  • Allah mengharamkan bangkai kepada kita kerana hal tersebut memberi kesempatan kepada haiwan atau binatang lain memakannya sebagai rezeki mereka dan tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-makhluk-Nya.


    Supaya manusia memberi perhatian terhadap binatang-binatang peliharaan mereka dan tidak membiarkan binatang itu diserang oleh penyakit sehingga mati. Sebaliknya ia hendaklah segera diberikan rawatan yang sepatutnya


 

Wednesday, September 29, 2010

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Dari Abu Hurairah r.a katanya,:Rasulullah SAW bersabda:"Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya:" Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (al-Mukminun:51) "Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu..."(al-Baqarah:172) Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:"Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! ". Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya."

 
 

(Muslim)

Huraian :

  1. Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab-adab dan syarat-syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah SWT
  2. Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk dari ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah segala apa yang dipohon akan dikabulkan Allah.
  3. Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara yang lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut .." (al-A'raf : 55)
  4. Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:"Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa." (at-Tabrani).


 

Sumber jabatan kemajuan islam malaysia

Tuesday, September 28, 2010

Larangan Meminta-minta Mati

Larangan Meminta-minta Mati


 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: " Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku."

 
 

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian :

Pengajaran hadith:

i) Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
ii) Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
iii) Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.


 

Sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Al-quran Al-karim

Al-quran Al-karim

Hadith :
Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus."

Ali r.a


Huraian
Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus."


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sunday, September 26, 2010

“MANUSIA BERWAJAH SYAITAN ”

“MANUSIA BERWAJAH SYAITAN ”

Dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Iblis adalah makhluk pertama yang menderhaka dan menentang hukum Allah SWT. Allah telah memerintahkan para Malaikat dan Iblis sujud kepada Nabi Adam AS sebagai menghormati manusia makhluk Allah yang paling mulia. Para Malaikat mematuhi perintah Allah tetapi Iblis terus ingkar dan menderhaka perintah Allah. Sejak penentangan itu, Iblis berikrar akan terus menderhakai Allah dan akan memujuk manusia menyertainya menentang perintah Allah.
Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 121:

Maksudnya: "Dan sesunggguhnya Syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantahmu; dan jika kamu menurut hasutan mereka, maka sesungguhnya kamu tetap menjadi orang musyrik.".


Menurut Ulama, Syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan kearahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu syaaitan.

Kerja Syaitan ialah Pertama: Mewas-waskan manusia dengan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak kearah keburukan dan kekejian, kedua: Menjadikan pekara-perkara buruk kelihatan baik pada pandangan pengikut-pengikutnya sehingga manusia tidak nampak keburukan, ketiga: Melalaikan manusia daripada melakukan tugas-tugas dakwah dan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah, keempat, Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.


Manusia yang berwajah Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata: "yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran."
Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 21:

Maksudnya:
"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh melakukan perkara yang keji dan yang mungkar.


Mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut dan bertopengkan Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Manusia yang berwajah Syaitan licik memutarkan kata-kata, manis bibirnya, bijak melaksanakan program-program Syaitan. Antaranya dengan melakukan pujuk rayu , bisikan, tipu daya, fitnah dan kata-kata nista. Pujuk rayu merupakan bahagian terpenting dari seluruh langkah-langkah program Syaitan, kerana ianya tersembunyi dan boleh menimbulkan kesan negatif yang sangat merbahaya bagi manusia. Dengan pujuk rayu Syaitan akan menerbitkan perbuatan mencaci, mencela, mengutuk, mengumpat mengaib serta memutuskan hubungan Silaturrahim sesama insan. Lebih dari itu mereka ini sanggup melakukan apa saja seperti menipu dan membunuh.

Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan Syaitan melakukaan kefasadan, memusuhi anak Adam, mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut,menyesat dan menakutkan manusia.

Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam Neraka. Sayidina Mu'adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam Syurga dan menjauhkan daripada api Neraka.
Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya
sendiri lalu bersabda:


Bermaksud: "Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan Syaitan". (Riwayat at-Thabrani)


Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telingga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.

dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang bertopengkan Syaitan atau dengan kata lain menjadikan Syaitan sebagai saudara mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kejadian pembunuhan manusia, penyeksaan sesama manusia, membunuh diri, menentang hukum Allah SWT dan melakukan kejahatan, kezaliman keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi Syaitan. Mereka yang menjadikan Syaitan sebagai kawan atau idola akan sesat dalam kehidupan mereka. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih.

Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menilik wajah kita agar ianya berseri-seri dengan amalan mulia di sepanjang kehidupan ini dan tidak bertopengkan wajah Syaitan. Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung
firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:

Maksudnya: "Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar


Thursday, September 23, 2010

Mati kerana lemas

Mati kerana lemas

'Adiy bin Abi Hatim r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apabila haiwan yang engkau panah jatuh di dalam air lalu tenggelam dan mati maka janganlah engkau memakannya."


(HR al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Huraian :

Binatang-binatang yang hendak dimakan hendaklah dipastikan halal termasuk cara ia dimatikan sama ada mati disembelih atau mati dipanah bukan mati kerana tertindih, dilanggar dan sebagainya. Hal ini kerana pada hari ini terdapat banyak keraguan dalam bab penyembelihan binatang. Contohnya ada ayam yang telah disembelih tetapi mati buka kerana sembelih tetapi kerana tertindih di dalam tong berisis ayam-ayam lain yang disembelih. Mati kerana ditindih atau lemas disahkan tidak halal sebagaimana yang disebutkan dalam hadith di atas.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Wednesday, September 22, 2010

Istimewanya Madinah

Istimewanya madinah

Rasulullah pernah berdoa yang maksudnya:"Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah."

(Bukhari dan Muslim)


Huraian :

Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwah dan seterusnya sebagai Tanah Suci kedua selepas Tanah Suci Makkah al-Mukarramah. Ia kaya dengan sejarah-sejarah yang jelas terkandung di dalam Al-Quran. Sebelum Rasululullah SAW memasuki Madinah, ia merupakan sebuah negeri tempat bersarangnya penyakit.

Antara kelebihan dan keistimewaan Madinah ialah:

1.Bumi Yang Subur Dan Makmur- Bumi Madinah mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat yang terdapat pada tamar-tamar lain. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesiapa yang di waktu pagi makan 7 biji kurma Ajwah, pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir."

2. Masjid Nabawi- Ia terletak di tengah-tengah kota Madinah. Asalnya ia merupakan tapak pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua orang anak yatim iaitu Suhail dan Sahl. Rasulullah SAW telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama-sama dengan Kaum Ansar dan Muhajirin. Sabda Rasulullah SAW: "Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram,"( Bukhari dan Muslim)

3. Tanah Haram- Seperti Makkah, Madinah juga merupakan tanah haram. Ianya menjadikan setiap umat Islam sentiasa berwaspada dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT ketika berada di sana. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Madinah adalah tanah haram, letakknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur,sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT,malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak." ( Bukhari dan Muslim)

4.Keutamaan Meninggal Dunia di Madinah- iaitu bagi sesiapa yang boleh menetap di Madinah hingga sampai ajalnya. Oleh kerana ini jugalah maka Khalifah Umar r.a pernah berdoa kepada Allah SWT: "Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalan-Mu dan jadikanlah matiku di negeri Rasul Mu."


5.Terpelihara Daripada Dajjal- Madinah merupakan kota yang dijanjikan Rasulullah tidak akan di masuki oleh Dajjal. Anas ibn Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak ada suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah ,di keduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali para malaikat akan berbaris menjaganya. .Kemudian Madinah akan menggongcangkan penduduknya sebanyak tiga kali,lalu Allah SWT mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik."(Riwayat Bukhari)


Demikianlah antara kelebihan atau keistimewaan Madinah. Maka tidak hairanlah jika sekali bumi Madinah dipijak, akan terasa kerinduan untuk mengunjunginya lagi. Ini kerana suasana di Madinah cukup aman dan damai serta penuh dengan ketenangan. Semoga dengan mengunjungi Madinah akan dapat menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

sumber jabatan kemajuan islam malaysia

Tuesday, September 21, 2010

"MAKANAN BERZAT BENTUK UMAT PINTAR"

MAKANAN BERZAT BENTUK UMAT PINTAR

Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan yang halal lagi bersih. Halal sumber dan bersih ain serta zat sesuatu makanan itu memberi kesan yang mendalam kepada umat Islam terhadap tubuh badan, jiwa, emosi, dan akal. Antara kesan yang paling ketara ialah kejernihan akal fikiran yang mampu mengungkap dan menyelesaikan permasalahan umat dan dunia.

Otak mempunyai kekuatan yang amat menakjubkan. Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya satu peratus dari keseluruhan keupayaan otak yang sebenar. Malah penyelidikan mereka mendapati kita menggunakan kurang dari satu peratus dari kemampuan otak yang sebenar. Hasilnya, jiwa menjadi lemah dan pesimis, akal menjadi lembab dan kuasa fikiran menurun serta gangguan emosi.

Walau bagaimanapun keadaan ini berbeza kepada bangsa Yahudi. Mereka memiliki tahap kepintaran melebihi umat Islam. Sejak dahulu bangsa Yahudi mendepani dan menguasai pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains, seni, dan yang paling ketara bidang perniagaan. Hampir 70 peratus perniagaan di dunia di kuasai oleh mereka dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, dan sebagainya.

Persoalan besar timbul di sini ialah bagaimanakah bangsa Yahudi boleh mencapai tahap kepintaran sebegitu?. Menurut kajian sarjana barat, bangsa Yahudi telah mendidik anak-anak mereka sejak dari dalam perut sehingga ke peringkat universiti. Apa yang menarik ialah kesungguhan mereka menjaga pemakanan ke arah meningkatkan daya fikir yang tajam. Walau bagaimanapun, Islam telah lebih dahulu memperkatakan kepentingan makanan untuk fikiran manusia.

Allah SWT telah menganugerahkan kita pelbagai sumber makanan yang berkhasiat dan berzat. Ada makanan yang memberi kesan cepat terhadap kecergasan otak dan ada makanan yang lambat atau tidak memberi sebarang kesan sedikit pun. Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang halal lagi bersih seimbang, berzat, dan berjadual.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172:


Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya."

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita memakan makanan yang baik. Menurut Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur'an al-A'zim, makanan yang baik ialah sesuatu yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal. Pakar pemakanan telah mengenalpasti bahawa bagi membantu akal sihat, kita hendaklah memakan makanan yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak, air, mineral, dan vitamin seperti A, B, C, D, E dan K.

Makan dan minum adalah antara ibadah yang penting dalam Islam kerana ia dapat membina akhlak terpuji dan membangunkan akal insan soleh. Dalam hal ini, Allah SWT telah memberi panduan pemakanan kepada umat Islam berlandaskan konsep 'memberi kemudahan, menjaga nyawa, jaminan kesihatan tubuh badan dan akal'. Pengambilan makanan yang tidak diberkati dan tidak berzat mendatangkan kesan buruk pada akal serta mudah terlibat dalam gejala sosial seperti amalan rasuah, pecah amanah, perjudian, penipuan, pengkhianatan, dan sebagainya.

Manakala pemakanan dari sumber rezeki yang halal, baik dan berzat adalah lebih disukai serta dirahmati oleh Allah SWT. Ini kerana hati kita menjadi bersih dan akal kita menjadi bijak serta memudahkan pekerjaan kita. Sebagai bukti kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap nikmat makanan, maka kita wajib memilih makanan yang disarankan dalam Islam.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Ahmad, Nasai'e, dan Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:


Mafhumnya: "Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Sekiranya ia (makan) memadai dengan suapan yang kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbinya (tulang belakangnya). Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga minuman, dan sepertiga nafasnya."

sekiranya umat Islam kembali kepada gaya pemakanan dan adab-adab makan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka zat makanan tadi menyumbang kepada ibadah, menyihatkan badan, dan memberi kepintaran kepada akal. Antara adab dan gaya pemakanan tersebut adalah sepertiga dengan makanan, sepertiga dengan air, dan sepertiga lagi untuk bernafas.

Dibimbangi jika kita tidak menjaga adab-adab ini, akan menyukarkan kita bernafas, lemah daya fikir, dan mendatangkan mudarat pada diri. Menurut pandangan pakar perubatan Arab, Harith bin Kalwah bahawa berpantang dan berjaga-jaga dalam pemakanan adalah ibu segala ubat, dan banyak makan itu ibu segala penyakit.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:


Mafhumnya: "Orang mukmin makan dengan satu perut manakala orang kafir dengan tujuh perut."

Hadith ini menjelaskan bahawa orang mukmin makan mengikut adab syarak iaitu sepinggan yang sederhana, tidak seperti orang kafir yang makan sehingga tujuh pinggan mengikut selera nafsu. Apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW itu adalah menuntut kita agar bersederhana dan menjauhkan diri daripada penyakit zahir dan batin seperti sifat tamak, mementingkan diri sendiri, dan sebagainya.

pemakanan kita ke arah yang halal, berkat lagi berzat mengikut saranan Islam agar akal kita sentiasa sihat melalui langkah berikut:

Pertama: wajib memelihara kesihatan akal dan hati supaya dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna;

Kedua: memelihara kesihatan perut dengan baik dan tidak diisi mengikut nafsu;

Ketiga: hendaklah berjaga-jaga dengan makanan yang diambil

Keempat: umat Islam dituntut bersederhana dalam semua perkara.


Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 31:


Maksudnya:
"
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas."


Sumber:jakim(khutbah)


Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aisyah r.a

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aisyah r.a

Daripada Aisyah r.a katanya : " Aku berkata: " Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan jika tuan berhenti di sebuah wadi yang ada pokok yang telah dimakan sebahagiannya dan tuan dapati pula pokok yang belum dimakan darinya, pokok manakah yang tuan hendak menternak unta tuan? Rasulullah SAW bersabda : "Pada pokok yang belum lagi dimakan daunnya. Maksud Aisyah ialah bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengahwini perawan selainnya." (al-Bukhari)

al-Bukhari


Huraian :

Aisyah r.a adalah satu-satunya seorang perawan (dara) ketika diperisterikan oleh Rasulullah SAW. Bahkan ketika itu umur beliau masih kanak-kanak lagi sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a. maksudnya:
"Bahawasanya Nabi saw telah mengahwini Aisyah sedang (ketika itu) ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun"..
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Mazhab Empat, Islam tidak menentukan had umur untuk berkahwin. Ini bermakna bahawa kanak-kanak kecil juga boleh berkahwin. Walau bagaimanapun menurut Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan: "Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu".
Menurut Seksyen tersebut perkahwinan kanak-kanak di bawah umur hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah. Hal ini bukanlah berlawanan dengan pendapat Mazhab Empat kerana hakikatnya kebenaran dari Mahkamah adalah bertujuan memberi peluang kepada Mahkamah untuk menyelidiki gadis tersebut dari segi latar belakang, keadaan fizikal, kemampuan untuk berumah tangga demi menjaga kepentingan kanak-kanak tersebut.

Saturday, September 18, 2010

Orang-Orang Yang Berhak Menerima Zakat

Orang-Orang Yang Berhak Menerima Zakat

Hadith
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”

(Imam Ahmad)

Huraian :

  1. Golongan Fakir miskin adalah orang-orang yang hidupnya susah yang terdesak sehingga terdorong meminta sedekah ke sana ke mari.
  2. Terdapat segelintir fakir miskin yang hidupnya sentiasa lapar dan menderita, dan mereka pula tidak rela mengadukan hal kepada orang lain. Keadaan mereka yang menyedihkan itu tidak diketahui umum. Golongan inilah sebenar-benarnya yang miskin, dan merekalah yang lebih layak menerima zakat.
  3. Golongan yang berhak menerima zakat terbahagi kepada lapan asnaf, mereka ialah: orang fakir, orang miskin, amil, golongan muallaf, hamba abdi, orang yang menanggung hutang untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir.
  4. Mereka yang layak menerima zakat pula disyaratkan antaranya;beragama Islam, bukan orang yang ditanggung nafkahnya dan bukan dari keturunan Nabi Muhammad SAW.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, September 17, 2010

Kesabaran Rasulullah SAW Dalam Berdakwah

Kesabaran Rasulullah SAW Dalam Berdakwah


Jundub Ibn Sufyan r.a menerangkan:”Bahawasanya Rasulullah SAW pada suatu hari berada di dalam sebuah peperangan sedangkan anak jari baginda sudah berdarah. Maka berkatalah Rasulullah SAW :”Engkau hai anak jari tiada lain melainkan anak jari yang telah berdarah dan di jalan Allah apa yang telah engkau deritai.”

(Bukhari dan Muslim)


Huraian :

Nabi pernah menyatakan bahawa tekanan paling berat yang pernah dirasakan baginda sewaktu berhadapan dengan orang Quraisy ialah apa yang pernah baginda deritai pada Hari Aqabah di Mina iaitu ketika baginda pergi ke Taif untuk berdakwah. Di sana baginda berharap agar penduduk Taif akan menerima dakwah baginda dan melindungi baginda daripada keganasan puak Quraisy. Namun yang sebaliknya pula berlaku apabila baginda diusir dan dikasari hingga luka berdarah. Dalam peristiwa ini Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk membantu baginda membinasakan puak yang menentang itu dengan cara membinasakan mereka sebagaimana yang berlaku pada kaum-kaum sebelumnya. Namun sebagai seorang Nabi baginda tidak terburu-buru. Baginda menolak bantuan tersebut dan masih mengharap supaya kaum yang melampau itu diberikan kesedaran dan mereka tidak dibinasakan kerana perlakuan mereka itu sebenarnya adalah disebabkan kejahilan mereka.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia



Thursday, September 16, 2010

Kemuliaan akal menurut Islam


Kemuliaan akal menurut Islam

Rencana Pilihan

Akal fikiran merupakan anugerah Allah s.w.t yang paling utama kepada manusia, kriteria terpenting yang membezakan mereka daripada makhluk selainnya.

Akal adalah neraca dalam menentukan kebaikan dan keburukan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah s.w.t yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang. Dengan panduan wahyu daripada Allah s.w.t, manusia telah diamanahkan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia di hari akhirat turut ditentukan oleh penilaian dan kebijaksanaan akalnya. Pengakuan yang dikemukakan oleh penghuni neraka begitu jelas menggambarkan realiti ini. (Mereka berkata; Jika kami mendengar dan berfikir nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka, surah al-Mulk, ayat 10.

Demikian juga konsep taklif (tanggungjawab) dalam Islam yang menitikberatkan tentang akal apabila hanya golongan yang berakal sahaja yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan sesuatu ibadah kepada Allah s.w.t, sedangkan mereka yang tidak berakal dikecualikan.

Menerusi akal, manusia berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada untuk kehidupan dunia ataupun bekalan di hari akhirat.

Merujuk kepada perantara langsung di antara Allah s.w.t dan hamba-Nya iaitu al-Quran, kita dapati akal merupakan asas kepada penghujahan Allah s.w.t ke atas makhluk-Nya. Jika diteliti terdapat begitu banyak ayat al-Quran yang memperkatakan tentang penggunaan akal seperti ta'qilun, tafakkarun dan tadabbarun.

Pujian diberikan kepada mereka yang menggunakan akal yang membawa kepada keimanan dan ketakwaan terhadap Allah s.w.t, manakala celaan pula ditujukan kepada mereka yang mengabaikan proses penggunaan akal tersebut menuju kebenaran dan keimanan.

Al-Quran memberikan kedudukan yang istimewa kepada akal. Islam menjadikan berfikir sebagai satu kemestian ke atas semua manusia. Berfikir dianggap sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t yang bermaksud: Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur serta berfikir pada kejadian langit dan bumi (lalu berkata) Tuhan kami sesungguhnya Engkau tidak jadikan semua ini sebagai satu kebatilan, maha suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab neraka, surah al-Imran, ayat 190.

Demikian juga kita dapat melihat pandangan Islam yang begitu tinggi terhadap penggunaan akal fikiran yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi. Pemikiran ini seterusnya membawa kepada keyakinan tentang kewujudan dan keagungan Allah s.w.t.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 164, bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, perubahan malam dan siang serta kapal yang belayar di lautan membawa perkara yang memberi faedah kepada manusia, dan apa yang diturunkan Allah s.w.t dari langit dari air lalu dihidupkan dengannya bumi yang gersang dan menyebarkan padanya setiap kehidupan, melalukan angin dan awan yang ditundukkan di antara langit dan bumi, itu semua merupakan tanda (kekuasaan Allah s.w.t) bagi mereka yang berfikir.

Ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat di antara kandungan alam maya dengan Allah s.w.t. Setelah menceritakan tentang realiti yang dapat dilihat di sekitar manusia dari langit, bumi, siang, malam dan perjalanan kapal di tengah lautan bergelora, kejadian hujan dan sebagainya yang perlu dikaji dan diselidiki oleh umat Islam untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia, Allah s.w.t mengakhiri ayat tersebut dengan menyatakan semua perkara itu adalah tanda bagi orang yang menggunakan fikirannya. Dengan kata lain, sebagai perantara untuk manusia mengakui kewujudan Allah s.w.t dan keagungan-Nya sebagai pencipta dan pentadbir alam ini.

Dari perspektif yang lebih jelas, ia memberitahu kita bahawa semua kejadian yang berlaku di dunia ini akan membawa kita kepada mengingati tentang kewujudan, kekuasaan, kebijaksanaan dan keagungan Allah s.w.t, dengan satu syarat iaitu melalui perantaraan akal yang sememangnya dianugerahkan kepada semua manusia.

Oleh itu, Allah s.w.t memandang rendah mereka yang tidak menggunakan anugerah akal fikiran yang diberikan untuk mengenal dan mendekatkan diri kepada-Nya. Mereka dihumbankan kepada kedudukan yang lebih hina daripada haiwan ternakan. Ini kerana mereka hanya menggunakan segala anugerah Allah s.w.t untuk kesenangan dan kemewahan duniawi semata-mata, seterusnya lalai daripada tujuan asal mereka dijadikan iaitu untuk mengenal dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Dari sini kita dapat melihat perbezaan antara golongan ilmuwan yang beriman dengan Allah s.w.t dengan yang tidak beriman.

Golongan pertama akan menjadikan ilmu yang diperoleh untuk menambahkan lagi keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t, manakala golongan kedua pula hanya memusatkan ilmu mereka demi mencapai kesenangan dan kemewahan di dunia semata-mata.

Maka benarlah firman Allah s.w.t yang bermaksud Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah s.w.t adalah para alim ulama.

Yang pasti, gabungan antara akal dan wahyu akan memberikan manusia jalan kebenaran yang bersinar sebagaimana yang diajarkan oleh para rasul. Pengabaian terhadap salah satu daripada kedua sumber tersebut akan menjadikan perjalanan hidup manusia pincang, seterusnya membawa kepada kekecewaan dan kegagalan.

Menerusi wahyu yang disampaikan oleh para rasul, kita mengetahui di penghujung sana adanya hari kiamat. Pada hari tersebut manusia akan diperlihatkan setiap perbuatannya di dunia ini, daripada amalan kebaikan mahupun kejahatan biarpun sebesar zarah. Seterusnya mereka akan dibalas dengan pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya.

Sebagai seorang yang mempunyai akal yang rasional kita sewajarnya membuat persediaan untuk menghadapi hari tersebut. Kejayaan pada hari tersebut dapat dicapai apabila kita dicurahi rahmat Allah s.w.t. Kerahmatan ini pula dapat diperoleh dengan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan dalam masa yang sama menjauhi segala larangan-Nya.

Kesimpulannya, tugas akal yang paling mulia ialah apabila ia digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Apabila melihat kepada kejadian alam yang begitu hebat, tersusun dan indah ini, sewajarnyalah terdetik di hati kita ingatan terhadap Allah s.w.t yang Maha Agong yang mencipta alam ini.

Hasil daripada ingatan yang berterusan inilah manusia akan sentiasa hidup dalam lindungan rahmat Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Maka ingatilah Aku nescaya Aku akan mengingati kamu dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.

Oleh itu lihatlah kepada manusia, langit, bumi, kereta, komputer dan semuanya dan jadikanlah ia sebagai perantara untuk kita mengingati Allah s.w.t.

Bersedekah Membawa Keberkatan Dan Kemuliaan


Bersedekah Membawa Keberkatan Dan Kemuliaan

Hadith:

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya”.
Riwayat Muslim


Huraian :

  1. Orang yang bersedekah dengan ikhlas kerana Allah Taala tidak perlu bimbang tentang kekurangan hartanya kerana Allah Taala berjanji menambahkan keberkatan ke atas hartanya itu.
  2. Keampunan yang diberikan oleh Allah keatas hambanya adalah semata mata sebagai suatu kemuliaan Allah kepadanya.
  3. Hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan bersifat tawadduk serta rendah diri akan diangkatkan darjatnya.
  4. Islam menggalakkan umatnya sepaya rajin bersedekah. Bagi orang-orang yang kaya hendaklah membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai Allah dengan memberi sumbangan kepada golongan yang amat memerlukan.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menghormati Orang Yang Sedang Sakit

Menghormati Orang Yang Sedang Sakit

Hadith :

Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".

Ibn Abbas r.a

Huraian
Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Penjahat Kecil


Penjahat Kecil

Hadith :

Dari Amir bin Saad dari bapanya (Saad bin Abi Waqas) r.a katanya:”Sesungguhnya nabi s.a.w telah memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya ‘si penjahat kecil’.

(Muslim)

Huraian

Berlaku sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim a.s semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.' Lalu dijawab oleh burung tersebut, “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.” Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, September 15, 2010

Besar dan Yang Lebih Besar Ganjarannya

Besar dan Yang Lebih Besar Ganjarannya
Hadith:
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu”


Huraian :

1. Bersusah payah memberi kesenangan kepada isteri dan berkorban mencari nafkah untuk anak-anak akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah S.W.T. Bahkan dikira suatu dosa besar sekiranya seorang suami atau ketua keluarga itu enggan memberi nafkah dan bakhil terhadap isteri dan anak-anaknya sedangkan ia mampu berbuat demikian.
2. Nafkah adalah lebih daripada hanya peruntukan makanan bahkan yang dimaksudkan dengan nafkah adalah memberikan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pendidikan dan perkara-perkara yang munasabah bagi kehidupan seseorang anggota keluarga.
3. Keluarga yang bahagia akan terbentuk sekiranya setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing. Keberkatan jua akan melimpah sekiranya setiap tanggungjawab itu dilakukan dengan mengambilkira kedudukan halal dan haramnya. Tidak semata-mata ingin mengecap kesenangan dengan jalan yang mudah sehingga akhirnya membawa padah kepada keluarga dan merosakkan rumahtangga.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

PUASA ENAM DI BULAN SYAWAL IBARAT PUASA SETAHUN


Alhamdulillah kita hampir tamat menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan akan datang.
Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.
Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.
Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?
Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.
Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah...
Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.
"Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya.." Amin.