Saturday, November 27, 2010

Umat Yang Sentiasa Menang

Umat Yang Sentiasa Menang


Hadith :

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu memperjuangkan yang hak. Mereka selalu menang sampai hari kiamat.


Huraian
Islam bukan sekadar suatu perkataan yang disebut oleh lidah sahaja, bukan pula bererti kelahiran seseorang di dalam sebuah negara tertentu yang disebut sebagai negara Islam dan mempunyai lambang keislaman, juga tidak bererti kelahiran seorang yang ibu bapanya muslim. Kita sering membicarakan tentang Islam akan menang, Islam akan tertegak tetapi apakah yang kita lakukan untuk menuju ke arah itu? Perjuangan menegakkan Islam masih belum berakhir. Di manakah kita ketika saudara-saudara kita dihina, diinjak-injak, disembelih, diperkosa? Pernahkah kita kenangkan nasib mereka walau sedetik? Pernahkah lidah mengucapkan doa kemenangan untuk mujahid-mujahid Islam ini? Apakah sumbangan kita untuk mereka? Sebenarnya bangsa atau umat yang menjadi pilihan Allah yang akan sentiasa diberikan kemenangan ialah bangsa MUSLIM yang hidupnya terus memperjuangkan agama Allah sekalipun mereka berlainan bangsa dan warna kulit. Inilah konsep yang unggul mengenai negara dan rupa bangsa yang sentiasa beroleh kemenangan dan kekal merdeka.


Sumber:Jakim

Memutuskan Silaturahim; Satu Dosa Besar

Memutuskan Silaturahim; Satu Dosa Besar

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim"

 
 

Riwayat al-bukhari


Huraian
Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.
 

  1. Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:" Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari."
  2. Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.
  3. Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.
  4. Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.

Sumber:Jakim

Kesempurnaan iman

Kesempurnaan iman

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka."

 
 

Riwayat At - Tirmidzi


 

Huraian

  1. Kesempurnaan iman seseorang itu adalah dinilai dari segi akhlaknya yang mulia.
  2. Para suami dituntut oleh Islam supaya berlaku adil dan baik terhadap isteri serta bijaksana dalam mengendalikan urusan rumahtangga.
  3. Asas keluarga bahagia adalah membentuk keluarga dengan sifat takwa dan mempunyai ilmu pengetahuan dunia dan akhirat


 

Sumber:jakim

Tipu Daya




Hadith :

Dari Huzaifah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:"Dajal selalu membawa air dan api. Api itu sebenarnya adalah air sejuk, sedangkan air sebenarnya adalah api. Kerana itu waspadalah kamu agar tidak celaka.

 
(muslim)




   
Huraian
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai." Dari Jabir bin Abdullah pula katanya, Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Sumber:jakim






Bangkai Haram Dimakan

Bangkai Haram Dimakan


Hadith :

Abu Waqid r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apa-apa yang dipotong dari binatang ketika ia masih hidup, maka ia adalah bangkai."


(HR Abu Daud)


Huraian

Perkataan 'bangkai' diterjemahkan daripada maitah, iaitu satu daripada tujuh kalimah yang terbit daripada kata dasar mim wau ta, yang amnya bererti mati. Bangkai bermaksud binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada suatu pun usaha manusia yang sengaja menyembelih atau membunuhnya dengan cara berburu. Bangkai sahaja terhad pada haiwan yang tidak disembelih. Contohnya seekor lembu yang telah disembelih jika dibiarkan mati begitu sahaja sehingga berbau busuk dan berulat, maka ia dikategorikan sebagai bangkai juga. Binatang yang dicekik, dipukul, jatuh dari kedudukan yang tinggi, ditanduk atau kerana dimakan binatang buas, semuanya juga termasuk dalam pengertian bangkai. Begitu juga binatang yang disembelih untuk berhala, bukan kerana Allah juga mempunyai pengertian yang sama. Terdapat beberapa hikmah mengapa bangkai diharamkan untuk dimakan iaitu:


• Naluri manusia yang sihat tidak akan tergamak memakai bangkai kerana ia dianggap kotor. Bahkan ia juga merupakan perbuatan yang merendahkan darjat manusia. Justeru semua agama Samawi menganggap bahawa bangkai adalah makanan yang haram. Ia tidak boleh dimakan kecuali yang mati kerana disembelih, meskipun berbeza cara sembelihan itu.
• Supaya manusia membiasakan diri melakukan sesuatu dengan niat dan usaha iaitu menangkap binatang dengan niat hendak menyembelihnya dengan tujuan hendak memakannya.
• Umumnya binatang yang mati dengan sendirinya adalah mati kerana sesuatu sebab iaitu mungkin kerana penyakit atau kerana termakan tumbuh-tumbuhan beracun dan sebagainya. Semua ini sudah tentu akan membahayakan manusia.
• Allah mengharamkan bangkai kepada kita kerana hal tersebut memberi kesempatan kepada haiwan atau binatang lain memakannya sebagai rezeki mereka dan tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-makhluk-Nya.
Supaya manusia memberi perhatian terhadap binatang-binatang peliharaan mereka dan tidak membiarkan binatang itu diserang oleh penyakit sehingga mati. Sebaliknya ia hendaklah segera diberikan rawatan yang sepatutnya

Sumber : jakim

Bersedekah Sebagai Tanda Bersyukur Dengan Rezeki Kurniaan Allah

Bersedekah Sebagai Tanda Bersyukur Dengan Rezeki Kurniaan Allah


 


Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya."

 
 

Riwayat Bukhari dan Muslim


 

Huraian


Pengajaran hadith:


  1. Amalan memberi sedekah disifatkan sebagai penebus dan pelupus dosa dan ia merupakan pintu kebajikan yang boleh menghalang daripada api neraka. Orang yang suka bersedekah menunjukkan dia bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah di mana ia merupakan kunci utama ketenangan dan kebahagian hidup di dunia.
  2. Aspek yang terpenting dalam bersedekah ialah keikhlasan niat bahawa amalan itu adalah kerana Allah S.W.T semata-mata, tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kononnya kita adalah seorang yang pemurah dan sebagainya.
  3. Tidak sewajarnya kita bersedekah kepada orang lain, sedangkan keperluan diri dan keluarga sendiri diabaikan. Oleh itu sebaik-baik cara bersedekah ialah ia dimulakan dengan orang yang di bawah tanggungan sendiri, keluarga dan sanak saudara kerana memberi kepada orang yang berhak itu adalah lebih utama.
  4. Bersedekah sesungguhnya akan memuliakan maruah seseorang sebaliknya meminta sedekah akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam menggalakkan umatnya agar berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki, bukan mengharapkan belas kasihan orang lain.

Sumber: jakim

Monday, November 8, 2010

Larangan Menarik Balik Sedekah

Larangan Menarik Balik Sedekah


 

Hadith :

Dari Abdullah bin Umar r.a katanya:"Bahawasanya Umar bin al-Khattab telah bersedekah kuda fi sabilillah . Kemudian didapatinya kuda itu dijual orang dan dia bermaksud hendak membelinya. Namun sebelum itu dia pergi menemui nabi meminta nasihat baginda. Nabi bersabda kepadanya:" Janganlah engkau ambil kembali sedekahmu."

 
 

(al-Bukhari)


 

Huraian
Orang yang paling hebat dan paling kuat adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus, dan ikhlas tanpa adanya unsur-unsur untuk menunjuk-nunjuk ataupun keinginan untuk diketahui oleh orang lain. Ini disebabkan naluri manusia sebenarnya selalu rindukan pujian, penghormatan, penghargaan, ucapan terima kasih dan sebagainya. Bahkan di hati kita pun selalu terdetik untuk mempamerkan segala apa yang ada pada diri kita ataupun segala apa yang boleh kita lakukan. Apalagi jika yang ada pada diri kita atau yang sedang kita lakukan itu berupa kebaikan. Manakala menarik balik sedekah pula adalah satu perbuatan yang disifatkan oleh rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadith sebagai memakan semula sesuatu yang telah dimuntahkan oleh seseorang. Ini menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan yang buruk dan amat memalukan Sesungguhnya sedekah adalah penolak bala, penyubur pahala, dan melipatganda rezeki seseorang; sebutir benih menumbuhkan tujuh tangkai, yang pada tiap-tiap tangkai itu terjurai seratus biji. Ertinya, Allah yang Maha Kaya semestinya akan membalas setiap sedekah itu hingga tujuh ratus kali ganda.

Sumber:jakim

Menjaga perasaan

Menjaga perasaan


 

Hadith :

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya."

 
 

(al-Bukhari dan Muslim)


 

Huraian

  1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan
  2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.
  3. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.
  4. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.


     

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Larangan Menyombong Diri

Larangan Menyombong Diri

Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah". Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,"Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan".

 
 

Riwayat Muslim


  Huraian
Sifat sombong dan takbur adalah ditegah oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya demi menjaga kesejahteraan hidup.
 

  1. Kita harus melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesahan dirinya sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.
  2. Islam tidak melarang umatnya daripada mengutamakan keindahan dalam sesuatu perkara kerana keindahan itu adalah kesempurnaan yang boleh membangkitkan ketenangan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Batas Umur Dibenarkan

Batas Umur Dibenarkan

Hadith :

Dari Ibnu Umar r.a, ia meminta kepada Rasulullah saw untuk menjadi tentera pada waktu peperangan Uhud, sedangkan dia ketika itu berusia empat belas tahun. Baginda tidak membenarkan. Kemudian dia kemukakan lagi permohonan untuk menyertai peperangan Khandaq dan dia ketika itu sudah berusia lima belas tahun. Baginda membenarkan."

 
 

(Bukhari)


 

Huraian
Istilah "kedewasaan" menunjuk kepada keadaan sesudah dewasa. Sedangkan istilah "pendewasaan" merujuk kepada keadaan belum dewasa. Islam membeza hal ini kerana syariat menganggap, dalam kematangan berfikir dan keseimbangan psikologi pada orang belum dewasa adalah masih dalam taraf permulaan dan memerlukan bimbingan khusus. Kerana itulah Rasulullah tidak membenarkan Ibnu Umar menyertai peperangan kerana ketika itu dia masih terlalu mentah (budak) dan belum dapat berfikir atau membuat keputusan yang baik apalagi dalam hal-hal peperangan yang memerlukan pemikiran yang tangkas terutama dalam mengatur strategi peperangan. Jika tersilap langkah kemungkinan tindakan yang diambilnya akan mendatangkan bahaya kepada orang Islam seluruhnya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Isteri derhaka

Isteri derhaka


 

Hadith :

Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:"Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka.. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir." Baginda ditanya oleh seseorang:"Apakah mereka kafir kepada Allah?" Jawab Rasulullah, "Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata:"Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!"

(al-Bukhari)


 

Huraian
1. Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikannya hanya kerana satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan. Tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku lain yang menyenangkan dari isterinya. Begitu jua keadaannya bagi seorang isteri terhadap suaminya.
2. Tugas seorang isteri di samping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurgalah baginya. Sabda Rasulullah: "Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti ia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ibnu Hibban)
3. Sebagai perempuan atau wanita yang bergelar isteri, kita mempunyai satu kewajipan yang besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajipan lain dilaksanakan, kewajipan terhadap suami harus didahulukan. Manakala bagi lelaki mereka pula mempunyai kewajipan yang amat besar terhadap ibunya. Sejauh kemampuannya, ia perlu memenuhi setiap kewajipan terhadap ibunya, kerana itu kewajipan yang mesti dilaksanakan.
4. Rasulullah bersabda: "Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Ta'ala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaanya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya hingga ia pulang." (Riwayat Al Bazzar).

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Islam Mementingkan Kasih Sayang

Islam Mementingkan Kasih Sayang

Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit".

 
 

Riwayat at-Tabrani


Huraian
Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim
 

  • Belaian dan layanan yang mesra akan melahirkan suasana yang mesra, harmoni dan tenang dalam kehidupan. Oleh itu Islam amat menekankan tentang pentingnya nilai kasih sayang dalam sistem kekeluargaan dan juga kehidupan bermasyarakat
  • Antara tumpuan (bentuk) kasih sayang itu adalah:
    i. Ucapan dan kata-kata yang menggunakan perkataan yang manis dan bersopan.
    ii. Melalui sentuhan yang lemah lembut.
    iii. Melalui pujukan, pujian, penghargaan dan senyuman
  • Apabila ditinjau tentang kehidupan masyarakat hari ini ternyata punca perpecahan yang berlaku ialah kerana kurangnya semangat kasih sayang dalam pergaulan mereka. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat.


 

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia