Wednesday, December 15, 2010

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Hadith :

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:"Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?"

 
 

(Muslim)


 

Huraian
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Jalan Ke Syurga


Jalan Ke Syurga
Hadith :

Daripada Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada rasulullah SAW: "Apakah pendapat tuan sekiranya saya melakukan solat-solat fardu (lima waktu), berpuasa di bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga."
 
 

(Muslim)
Huraian
Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menentukan baginya batasan-batasan dan amalan-amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang difardukan serta meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan kerana Allah SWT sesungguhnya tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang maksudnya:" Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu." (al-Baqarah: 185) Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi 'tamak' untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak juga mendekati perkara yang makruh. Demikian juga kita tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menghormati Jenazah



Menghormati Jenazah
Hadith :
Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah! Sesiapa yang turut mengiringkannya ke kuburan, jangan duduk sampai jenazah itu diletakkan orang."
 

(Muslim)



Huraian
Orang yang meninggal hendaklah disegerakan pengkebumiannya. Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati sehinggalah jenazah selesai dikebumikan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut sedangkan tangisan dan ratapan yang berlebihan diharamkan di dalam Islam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia