Wednesday, October 3, 2012

 Nikmat dunia yang paling baik 

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Dunia adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan (isteri) yang solehah (baik)”.

Riwayat: Muslim
 
Huraian Hadith: 
  1. Segala nikmat kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja. Ia akan lenyap apabila mana seseorang itu meninggal dunia.
  2. Nikmat dunia yang paling baik ialah isteri-isteri yang solehah iaitu yang mentaati suaminya dan bertakwa kepada Allah.
  3. Isteri yang baik (solehah) adalah sebab kebahagian didunia dan akhirat, serta dapat membantunya untuk taat kepada Allah, kerana itu lelaki hendaklah mengutamakan perempuan yang kuat pegangan agamanya daripada yang lain.


    sumber : Jakim
 

Thursday, April 26, 2012

Allah Tempat Berlindung dan Bermohon

Daripada Ibnu Mas’ud RA bahawasanya Nabi SAW pernah berdoa, “Ya Allah aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, terhindar daripada kejahatan dan kekayaan jiwa.”
Huraian Hadith:
  1. Orang yang beriman hendaklah sentiasa tunduk dan berlindung kepada Allah dalam semua keadaan.
  2. Di antara sifat-sifat mulia ialah yang dipohon oleh Rasulullah SAW dalam hadis ini iaitu taqwa, afaf (menghindarkan diri daripada larangan Allah) dan kaya jiwa.
  3. Permohonan kepada Allah hendaklah daripada perkara yang diredhai khususnya untuk menjadi hamba yang bertaqwa.
Riwayat: Muslim       

Sumber: Jakim

Kelebihan Menuntut Ilmu

Daripada Anas RA katanya, “ Ada dua orang adik-beradik pada zaman Rasulullah SAW, salah seorangnya selalu berdamping dengan Rasulullah SAW, dan seorang lagi pergi membuat kerja, maka yang bekerja itu mengadu hal kepada Rasulullah berkenaan dengan saudaranya itu, lalu Rasulullah menjawab: “Semoga engkau diberi rezeki dengan sebab dia.”
Huraian Hadith:
  1. Digalakkan membantu ahli ilmu (pelajar dan ulama).
  2. Orang yang menuntut ilmu mempunyai kelebihan iaitu rezekinya dijamin oleh Allah SWT dengan mendorong orang lain membantunya.
  3. Seseorang itu janganlah berbangga kerana mempunyai pekerjaan yang baik dan memperoleh rezeki yang lumayan kerana rezeki yang diperolehi itu mungkin disebabkan doa orang lain.

Riwayat: at-Tirmizi       

Sumber : Jakim

Menyeru Ke arah Kebaikan

Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amru al-Ansori al-Badri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang telah menunjukkan ke arah kebajikan maka baginya pahala seperti orang yang melakukan kebajikan itu”.
Huraian Hadith:
  1. Setiap orang yang memeberi petunjuk atau teladan yang baik akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.
  2. Bercita-citalah untuk menambahkan amal kebajikan dengan penuh ketaatan
Riwayat: Muslim       
sumber  :Jakim

    Thursday, January 19, 2012

    Ilmu lebih baik daripada harta

    15 Ilmu lebih baik daripada harta

    1. Ilmu adalah warisan para Nabi, manakala harta adalah warisan para raja dan orang kaya.

    2. Ilmu akan menjaga pemiliknya, manakala pemilik harta menjaga hartanya.

    3. Ilmu adalah penguasa atas harta, tetapi harta tidak berkuasa atas ilmu.

    4. Harta akan habis bila dibelanjakan, tetapi ilmu akan bertambah jika diajarkan.

    5. Apabila mati, pemilik akan meninggalkan hartanya, tetapi ilmu akan masuk bersamanya ke dalam kubur.

    6. Harta dapat diperolehi oleh semua manusia, sama ada mukmin, kafir, baik atau jahat. Tetapi ilmu yang bermanfa’at hanya dapat diperolehi orang-orang yang beriman.

    7. Mereka yang berilmu diperlukan oleh pemerintah dan selain darinya, tetapi pemilik harta hanya diperlukan oleh orang miskin.

    8. Jiwa akan mulia dan bersih dengan mengumpulkan ilmu dan berusaha memilikinya, sedangkan harta tidak membersihkannya, tidak menyempurnakannya bahkan tidak menambah sifat kemuliaan.

    9. Harta mengajak jiwa kepada bertindak sewenang-wenangnya dan sombong, manakala ilmu mengajaknya untuk merendah diri dan melaksanakan ibadah.

    10. Ilmu membawa dan menarik jiwa kepada kebahagiaan yang Allah ciptakan untuknya, sedangkan harta adalah penghalang antara jiwa dan kebahagiaan tersebut.

    11. Kekayaan ilmu lebih mulia dari kekayaan harta kerana apabila kekayaan itu musnah menjadikan pemiliknya miskin, tetapi kekayaan ilmu tidak perlu dikhuatirikan kefakirannya malah ia akan terus bertambah menjadikan ia kekayaan yang paling tinggi.

    12. Mencintai ilmu dan mencarinya adalah pokok segala ketaatan, manakala cinta terhadap dunia dan harta serta mencarinya adalah pokok segala kesalahan.

    13. Nilai orang kaya terletak pada hartanya, apabila harta itu lenyap maka lenyaplah nilainya. Tetapi nilai orang berilmu ada pada ilmunya, nilainya dirinya itu tetap tinggi bahkan terus bertambah.

    14. Dengan ilmu manusia membuat ketaatan kepada Allah, sedang disebabkan harta kebanyakan manusia berbuat maksiat kepada Allah.

    15. Orang kaya harta selalu merasai takut dan sedih, ia merasa sedih sebelum mendapatkannya dan takut setelah memperolehinya, setiap kali harta bertambah perasaan takutnya juga kian bertambah. Manakala orang yang kaya ilmu merasai aman, kebahagian dan kegembiraan.

    Penghulu Wanita Syurga

    Syidatina Fatimah r.ha : Penghulu Wanita Syurga


    Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya. 

    Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran. 

    Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. 

    Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan. 

    Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya. 

    Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya. 

    Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

    Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah. 

    Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu. 

    "Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya. 

    Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum. 

    Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah. 

    Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain.

    Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. 

    Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.

    Tuesday, January 17, 2012

    Azan dan Iqamah

    Azan dan Iqamah


    Dari Anas bin Malim r.a katanya:
    Setelah orang Islam semakin ramai, mereka mengusulkan supaya dimaklumkan waktu solat sudah tiba dengan suatu tanda yang mudah dikenal. Ada yang mengusulkan supaya menyalakan api atau membunyikan loceng. Maka Rasulullah s.a.w menyuruh Bilal supaya menggenapkan bacaan azan dan mengganjilkan qamat.

    Riwayat: (Bukhari)


    Huraian Hadith:

    Azan dan Iqamat adalah merupakan sunnah Nabi s.a.w di mana kita disuruh supaya berazan apabila masuknya waktu solat dan kemudian iqamat bagi memulakan solat. Bagi solat yang akan dijamak, iqamatnya adalah dua, satu adalah bagi permulaan solat yang pertama dan satu lagi ialah antara selesainya solat pertama dan sebagai permulaan bagi solat yang kedua

    SUMBER JAKIM

    Sunday, January 15, 2012

    Muslim perlu faham hakikat Islam sebenar

    Muslim perlu faham hakikat Islam sebenar

    oleh : Ustaz Zainuddin Hashim

    Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.
    Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah, Tuhan sekalian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud bermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w.

    Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat. Islam dari segi istilah Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia.

    Ia adalah agama wahyu yang diperturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. Ia juga bermaksud apabila manusia di bumi ini menerima Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, maka Allah SWT tidak rasa ragu-ragu untuk memberi keselamatan kepada mereka, kerana Dialah sahaja yang Maha memberi keselamatan dan boleh menarik semula keselamatan itu apabila manusia sudah semakin ingkar kepada arahan dan larangan-Nya.

    Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

    Sesungguhnya cara hidup yang dianjurkan oleh Islam adalah yang terbaik dan terindah yang tiada tolok bandingnya dengan ajaran-ajaran agama lain. Semasa zaman jahiliyah dahulu, kita dapati masyarakat hidup tanpa nilai-nilai murni, tiada kesejahteraan hidup, tiada jaminan untuk mengecap kebahagiaan, hidup dalam ketakutan, huru-hara, maksiat berleluasa dan sebagainya.

    Kita dapati yang kaya berkuasa, yang miskin dijadikan hamba abdi, yang kuat menindas yang lemah, yang berkuasa membuat kejahatan dibiarkan tetapi yang miskin membuat kejahatan diseksa. Ini berlaku adalah kerana tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda-pinda mengikut hawa nafsu mereka.

    Mana-mana budaya atau cara hidup yang tidak diakui oleh Islam maka cara hidup yang sedemikian adalah batil dan tidak boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.

    Begitu juga dengan adat-adat yang diguna pakai oleh sebilangan masyarakat hari ini, jika adat-adat yang diamalkan sejak nenek moyang kita itu menyeleweng daripada landasan Islam maka adat-adat tersebut tidak boleh dipakai dan dilarang oleh Islam, malah ia bukan dari amalan dan pegangan para sahabat, tabiÕin dan ulama hingga sampai hari akhirat.

    Tetapi apabila Islam itu dijadikan cara hidup, adakah kehidupan kita ini mengikut cara Islam yang sebenarnya? Cuba kita renung sejenak, adakah cara kita menguruskan diri, rumah tangga kita dan sebagainya mengikut Islam? Adakah hubungan kemasyarakatan kita hari ini berpaksikan Islam?

    Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam.

    Rukun-rukun Islam
    Ia mengandungi lima rukun, ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali, apabila seorang Muslim mengaku dirinya Islam, dia mesti melakukan kelima-lima rukun tersebut tanpa boleh meninggalkan salah satu daripadanya, kerana ia boleh dianggap terkeluar daripada Islam.

    1. Mengucap dua kalimat syahadah.
    2. Mendirikan solat (fardu lima waktu).
    3. Berpuasa pada bulan Ramadan.
    4. Mengeluarkan zakat.
    5. Menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu melakukannya.

    Prinsip dasar Islam yang kekal Islam tidak pernah membiarkan umatnya hidup meraba-raba tanpa hala tuju yang tidak jelas, justeru, Islam meletakkan beberapa dasar sebagai prinsip yang mesti dipegangi dan menjadi pra-syarat menjadi seorang Muslim yang benar-benar diterima di sisi Allah SWT.

    1. Akidah: Ia menjadi pra syarat pertama apabila seorang itu mengaku sebagai seorang yang berpegang kepada agama Islam, ia menghubungkan antara seorang hamba dengan Maha Pencipta, tanpanya ia boleh mengakibatkan seseorang itu akan jadi murtad atau berlaku syirik kepada-Nya.
    2. Syariat: Iaitu pelaksanaan hukum Islam sebagai bukti kekuatan akidah yang ada dalam diri Muslim, ia juga dijelmakan dalam bentuk ibadat khusus seperti solat dan sebagainya, juga termasuk ibadat umum.
    3. Akhlak: Ia merupakan penjel -amaan budi luhur, sopan santun yang positif yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
    4. Aspek dorongan kekuatan seperti jihad, amar makruf dan nahi mungkar.
    Ciri-ciri keistimewaan Islam Islam merupakan agama paling istimewa dan praktikal dengan kehidupan manusia dan menepati kehendak naluri sifat semula jadi manusia. Keindahan dan keistimewaan Islam dapat dilihat pada beberapa aspek yang menjadikan Islam itu sebagai sebuah agama yang menjadi dasar kehidupan umat manusia.
    1. Rabbaniyah (Ketuhanan). Rabbaniyah bermakna Islam yang merangkumi hukum hakam, konsep, prinsip dan nilai-nilai peraturan hidup manusia adalah mutlak milik Allah SWT.
    Islam agama Allah SWT dan agama-agama yang lain tidak diterima oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang diredai Allah SWT adalah agama Islam. (Surah Ali-Imran ayat 19).
    Firman-Nya lagi yang bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti. (Surah ali-Imran ayat 85 ).
    Islam dicipta oleh Allah SWT manakala agama-agama lain adalah hasil ciptaan idea dan falsafah serta pandangan manusia. Sesiapa yang menganut agama lain adalah sesat.

    2. Syumuliyah (Lengkap). Syumuliyah bermakna bahawa Islam itu lengkap dan sempurna malah tiada cacat celanya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Segala apa yang diterangkan oleh Islam adalah benar dan nyata belaka.

    Segala apa yang dihadapi oleh manusia semuanya terdapat penyelesaian dalam al-Quran sedikit pun tidak ditinggalkan. Allah SWT mengetahui kehendak dan kekurangan manusia maka dengan sebab itulah manusia diberi peraturan hidup yang mampu memenuhi keperluan manusia.

    3. Waqi'iyah (Berada dalam kenyataan). Al-Waqi'iyah bermaksud ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan manusia. Apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh manusia yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dapat diselesaikan oleh Islam melalui ajaran-ajarannya yang benar lagi tepat sekali.

    Misalnya bagi menyelamatkan nasab dan keturunan manusia Islam menyarankan berumah tangga dan mengharamkan zina serta meletakkan hukum rejam atau sebat bagi penzina dengan tujuan menjaga kehormatan manusia.

    Ajaran Islam tidak ada kesangsian dan syak wasangka pada kebenaran dan pelaksanaanya. Segala peraturan yang di buat oleh Islam sama ada ibadat, sosial, pentadbiran dan seumpamaya adalah begitu indah dan menepati kehendak manusia.

    4. Alamiyyah (Kesejagatan). Alamiyyah bermaksud ajaran Islam adalah sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, tempat dan zaman. Alamiyyah Islam membawa keadilan sejagat kepada seluruh alam terutamanya manusia.

    Keadilan Islam bukan hanya terbatas kepada individu, puak, keturunan, warna kulit dan sempadan malah keadilan Islam adalah alamiyyah iaitu menyeluruh. Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. telah menolak diringankan hukuman potong tangan ke atas Fatimah binti al-Aswah seorang wanita golongan bangsawan Bani Makhzum yang telah mencuri.

    Demikian juga diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. sendiri akan memotong tangan anaknya Fatimah sekiranya dia mencuri. Sudah jelas dan amat nyata sekali kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan memenuhi kehendak manusia.

    Islam menjamin kehidupan yang hakiki dan memberi kesejahteraan abadi kepada manusia di akhirat.
    Ciri-ciri keunggulan Islam
    1. Persamaan (kesamarataan): Sesungguhnya Allah SWT akan memberi pahala yang sama kepada kaum lelaki dan wanita apabila melakukan amal ibadat tanpa dibezakan mengikut gender (jantina), begitu juga saf hadapan di masjid bukan dikhususkan kepada golongan hartawan atau pemimpin tertentu, malah disediakan kepada siapa yang datang lebih awal di kalangan orang Islam dan sebagainya.

    2. Keadilan: Islam berlaku adil kepada sesiapa di kalangan manusia walaupun seorang itu tidak Islam, jika dia diperlakukan tanpa alasan yang munasabah, dia perlu dibela sama seperti orang Islam dalam erti kata lain bahawa Islam melindungi hak-hak manusia.

    3. Kebebasan: Islam memberikan kebebasan untuk bersuara atau memberi pendapat, kebebasan berfikir, berpolitik, beragama, berusaha dan lain-lain, tetapi bagi orang Islam tidak bermakna mereka bebas memilih cara hidup atau fahaman lain yang tidak selari dengan Islam ataupun mereka tidak boleh diberi peringatan untuk mendirikan solat atas alasan mereka bebas untuk tidak bersolat.

    4. Tidak boleh membahayakan diri dan orang lain: Ia merupakan ciri utama yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w., dalam erti kata bahawa seorang Muslim itu tidak boleh melakukan tindakan yang boleh membahayakan dirinya sendiri atau boleh membahayakan orang lain seperti terlibat dalam aksi bahaya mat rempit atau lumba haram.

    5. Islam menjamin hak asasi manusia: Ia merupakan satu jaminan yang diabaikan oleh isme falsafah ciptaan manusia.

    6. Menjaga enam perkara iaitu agama, harta, akal, jiwa, kehormatan dan keturunan.

    SUMBER : UKM.MY

    Saturday, January 14, 2012

    Butakah Cinta?

    BUTAKAH CINTA?
    Oleh: Syah Putra

    Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu, tetapi lebih menyakitkan apabila kamu mencintai seseorang dan kamu tidak memiliki keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya.”

    Amira meneliti bait-bait kata puitis itu sepenuh hati. Itulah yang berlaku pada dirinya sekarang, mencintai seseorang dalam diam, dia tidak mampu untuk memberitahu perasaannya itu pada orang yang dicintainya. Amira merasakan dirinya penuh kekurangan, sebenarnya rasa rendah diri yang keterlaluan itulah yang menyebabkan dirinya seolah-olah terkurung dengan perasaannya sendiri, dan dia seolah olah rela melepaskan orang yang dicintai sepenuh hati dalam diam itu pergi.

    Amira mengeluh kecil, sambil meletakkan pen yang dipegang untuk kedapur. Didapur mamanya sedang menggoreng ikan berdasarkan bunyi desiran minyak panas dikuali.” Mama masak apa hari ni? Tanya Amira.”hari ni mama masak lauk istimewa untuk dua orang anak mama ” balas Puan Lisa.”kakak mana?” tanya puan Lisa sambil meninjau melihat ikan yang digorengnya. “ Apa lagi, tidur lagi Ma” balas Amira. “Puteri ni, apa nak jadi, tidur tu kalau tak dah tengah hari tak bangun, apa nak jadi dengan anak dara zaman ini” rungut Puan Lisa. “ Ma, jangan marah, kak Puteri buat kerja malam tadi, lepas subuh tadi baru dia tidur” jelas Mira, dia masak perangai mamanya yang cepat sangat marah kalau ada yang tidak kena dengan anak-anaknya.”Mana Mia tahu? Tanya Puan Lisa pula,dia rasa bersalah pula merungut tanpa usul periksa. “tadi masa Mia bangun solat subuh, Mia jenguk bilik Kak Puteri tengah mengadap komputer lagi dan lepas tu dia solat subuh dan pesan pada Mia kejutkan dia pukul 10 pagi, la sekarang dah 10.30, matilah Mia lupa nak kejut dia,nasib baik Mama tanya kalau tak habis Mia, Mia pergi kejut kakak sekejap Ma” .Terkocoh-kocoh Amira menaiki anak tangga ketingkat atas untuk mengejutkan kakaknya.

    Puan Lisa hanya menggeleng kepala melihat telatah Amira. Amira Safia dan Puteri Balqish dua butir permata bagi dirinya. Amira seorang yang peramah tetapi ada bab-bab yang tertentu boleh meyebabkan dia menjadi sangat pendiam, bijak, baik hati dan paling berdisiplin, masih belajar disebuah Universiti tempatan. Manakala Puteri, seorang yang manja walaupun dia anak sulung, lemah lembut berbanding Amira, petah berhujjah dan kini bekerja sebagai peguam disebuah firma guaman terkenal .Dia bersyukur kedua orang anaknya dapat membesar dengan suasana yang baik dan dia sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka.


    “Kak Puteri, Mia tanya sikit boleh tak?”, Amira bersuara sambil matanya asyik memandang kakaknya yang sidang sibuk menaip menggunakan komputer. “Tanyalah, apa dia?, Sejak bila minta izin nak tanya ni, biasanya tak pernah pun nak minta izin” jawab puteri sambil matanya tidak lekang dari skrin komputer. “o.k, macam ni, …aa ..”berat mulut Amira untuk berkata.” wei, apanya Mia” tanya puteri , Mia adalah panggilan untuk Amira . Puteri menyimpan fail yang dibukanya dan mula keluar dari ‘microsoft word’ dan terus membiarkan komputer terbuka. Serta-merta dia mengadapkan mukanya ke muka Amira. Mereka sangat rapat dari kecil kerana di rumah itu hanya mereka berdua beradik . Puteri dapat merasakan ada sesuatu yang berat mengganggu hati Amira adik kesayangannya itu. Puteri walaupun anak sulung yang manja tetapi dia tetap boleh diberi ‘award’ sekiranya apa-apa jua masalah yang berkaitan dengan adik dan mamanya, biasanya dialah yang.....“o.klah, adik, apa dia, beritahu kak puteri, macam berat sangat ni, beritahulah kalau kak puteri boleh tolong, kak putri tolonglah, kalau tak dapat nak tolong kita cubalah iktiar untuk selesaikannya, O.k?” Puteri memberi jaminan. Amira membisu, dia sebenarnya mahu memberitahu puteri perkara ini tetapi dirasakannya amat berat mulutnya. Adakah masalah ini penting atau tidak penting? Patutkah dia minta pandangan Puteri? Itu yang berlegar-legar dalam fikirannya. Dia mengambil keputusan untuk memberitahu puteri kerana dia rasa sudah tidak sanggup lagi untuk memikirkannya.

    “Macam ni kak, Mia rasa Mia suka dengan seseorang, tapi dia tak tahu Mia suka dengan dia, Mia rasa macam dekat sangat dengan dia walaupun kami jarang sekali bertegur sapa, Mia selalu sangat terserempak dengan dia, masa tu jantung Mia mesti dup…dap..dap..macam tidak boleh nak berhenti..Mia perasaan jantung Mia jadi macam ini beberapa minggu lepas,..orang kata ini adalah perasaan cinta…betul ke Kak Puteri?” suara Amira berterus terang tentang lelaki yang disukainya. Itulah positifnya Amira, dia akan bercerita tanpa berselindung dengan Puteri walau apa pun masalah dan yang penting sikapnya yang sering berusaha untuk keluar dari masalah sering menjadikan dia istimewa pada pada pandangan Puteri. Puteri kenal lelaki yang disebut Amira itu, rasanya dia tinggal ditaman yang sama dengan tempat tinggal kami.

    “Mia, rasanya dia tinggal kat taman kita ni jugakan? Puteri minta penjelasan.”Ya..tepat sekali!”.jawab Amirah pantas.
    “Macam itu pun boleh jatuh cinta?’, memang cinta itu buta!” puteri berkata sambil tersenyum sinis pada Amira.Walau apa pun pada pandangan puteri lelaki itu memang baik jadi tidak mustahil Amira menyukainya. Puteri tersenyum, Ini rupanya yang bersarang difikiran Adiknya. Patut akhir-akhir ini dia nampak sikap Amira sedikit pelik, kadang-kadang nampak terlalu bersemangat dan kadang-kadang nampak lesu, jatuh cinta rupanya…cinta remaja (cinta monyet atau sejati?) entah puteri sendiri tidak tahu untuk mengukurnya.

    “kak Puteri, janganlah senyum-senyum macam tu, kalau tau kak Puteri cuma nak senyum dengar masalah Mia ni, lebih baik tak payah beritahu” bebel Amira.
    “ La…, senyum pun tak boleh?”Giat Puteri. “adik dah jatuh cinta rupanya, tapi si dia tak tahu adik suka dia, susah ni dik ,apa orang kata “ bertepuk sebelah tangan”!, tak berbunyi..so tak ada faedahnya, kita kena ingat apa pun yang kita lakukan mestilah ada manfaatnya dan kena berpijak dibumi nyata tahu?” jelas Puteri.
    “habis macam mana nak selesaikannya, kak Puteri tolonglah, hari-hari asyik ingat dia tu, memang tak berfaedah rasanya, tapi perasaan itu datang sendiri”gumam Mira.
    “ Adik, bercinta tak salah tapi yang tak betul ialah cara kita melayan cinta itu, lebih-lebih kita sebagai wanita Islam, kena jaga adab dan syariat dan lebih-lebih lagi Mia tengah belajar pula tu, kak puteri tak halang adik suka orang tu, itu adalah fitrah manusia. Satu masalahnya orang tu tak tahu adik suka dia. Sekarang ini akak boleh beri dua pandangan , suka hatilah mana satu adik nak pilih”.

    “Pertama, adik berterus terang dengan dia, beritahu dia adik suka dia dan nak berkawan dengan dia, risikonya dia akan terima atau tolak cinta adik,sekiranya dia lelaki yang baik dia akan terima dan tolak dengan cara yang terhormat, maksud maruah kita sebagai wanita masih terjaga,andainya tidak, tercalar juga maruah kita sebagai wanita, berani ke dik?
    Adik fikirlah.

    Cadangan Yang kedua , adik simpan sahajalah perasaan suka dengan dia itu, Kalau benar dia jodoh Mia, ia tidak akan ke mana-mana, sekarang Mia masih belajar, dia pun tengah belajar, utamakan pelajaran, anggap perasaan cinta ini sesuatu yang manis dan ia boleh menjadi sumber kekuatan bagi kita untuk terus hidup, buat solat hajat dan solat istikharah”.

    “Sebenarnya apabila kita menyintai seseorang tidak semestinya kita mesti memilikinya, dan cinta yang sejati itu ialah kita sentiasa doakan kebahagiaannya walaupun dia tiada di sisi kita, dengan cara itu kita juga akan rasa bahagia” jelas puteri lagi, dia pun tidak tahu bagaimana dia pandai berfalsafah tentang cinta. Tetapi apa yang dilontarkan itu ada logiknya pada pandangan Amira.

    “Mia, jangan kerana cinta, kita gugur dari perjuangan, dan jangan kerana cinta juga, prinsip kita menjadi larut dan cair, cita-cita Mia belum lagi tercapaikan? Cinta tidak semestinya akan berakhir dengan perkahwinan dan perkahwinan juga tidak semestinya akan menoktahkan titik akhir kepada percintaan. Hanya kesetiaan akan mengikat cinta. Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi . Di mana ada cinta di situ ada kehidupan. Itulah positifnya cinta ”jelas Puteri lagi. “Sekarang ini terserah pada adik nak buat keputusan. O.k? “.Puteri meneruskan semula kerjanya yang tergendala tadi. Dia berasa lega dapat memberikan pandangan tentang masalah itu. Dia dapat melihat wajah Amira yang keruh sudah ceria semula, itu menunjukkan Amira akan dapat membuat keputusan yang tepat untuk dirinya sendiri,

    “Betul kata kak Puteri, cinta tak semestinya memiliki, sekarang ini aku harus lepaskan dia pergi dahulu, kalau ada jodoh tak ke mana, aku masih mempunyai banyak perkara untuk diburu dalam hidup ini selain memburu cintanya” bisik hati Amira sambil tersenyum walaupun ia sedikit pahit untuk dilalui dan turut membekas dihatinya. Amira tahu keputusan yang dibuat ini akan melegakan kak Puteri dan Mamanya. Perjalanan hidupnya masih berliku, dia berazam untuk membuat yang terbaik dan dia juga berdoa agar cinta itu akan menjadi miliknya satu hari nanti. Hatinya berbunga ceria apabila mengingatinya.

    sumber : JAKIM

    Jangan Melampau

    Jangan Melampau

    Dari Anas r.a katanya:
    Beberapa orang sahabat Nabi SAW bertanya kepada para isteri baginda tentang amal ibadah baginda ketika sedang bersunyi diri (sendirian). Setelah mendapat jawapan, maka di antara para sahabat itu ada yang berkata: Aku tidak akan berkahwin! Sebahagian lagi berkata,: Aku tidak akan makan daging Yang lain pula berkata : Aku tidak akan tidur di atas kasur (tempat perbaringan). Mendengar ucapan para sahabat itu, Nabi SAW serta merta memuji Allah SWT, lalu baginda bersabda: Bagaimanalah cara mereka berfikir sehingga mereka bercakap begini dan begitu. Padahal aku sendiri solat, tidur, puasa, berbuka bahkan aku bernikah. Sesiapa yang benci kepada cara hidup (sunnahku) maka dia tidak termasuk golonganku.

    Riwayat: (Bukhari)


    Huraian Hadith:

    Sikap menentang ajaran Islam dan menyimpang jauh dari sunnah Rasulullah SAW amat dibenci oleh agama. Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman! Jangan kamu mengharamkan yang baik-baik dari apa yang dihalalkan Allah untuk kamu dan jangan kamu melewati batas, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melewati batas." (al-Maidah: 87)

    SUMBER: JAKIM

    Friday, January 13, 2012

    “MENEMPUH GERBANG PERSEKOLAHAN ”.

    "MENEMPUH GERBANG PERSEKOLAHAN ".

    Minggu ini adalah minggu kedua anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah dua bulan mereka bercuti dari alam persekolahan ini. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang.

    Dalam usaha membina insan yang cemerlang, maka hendaklah disepadukan antara ilmu pengetahuan dan pendidikan atau dikenali dengan kesepaduan antara ilmu dan tarbiah untuk melahirkan insan soleh. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak berwajib iaitu pemerintah, pihak sekolah dan ibu-bapa mestilah saling berkerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6:

    Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."


    Hubungan yang sangat kuat bahawa penglibatan ibu-bapa dalam memajukan pendidikan anak-anak. Dengan demikian ibu-bapa tidak boleh menyerah secara bulat bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru semata-mata dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak. Ibu-bapa hendaklah memain peranan dan kerjasama rapat dengan pihak sekolah.


    Ibu-bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak, jati diri dan kecemerlangan anak-anak. Bila tumpuan ibu-bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari awal kehidupan anak-anak sehinggalah mereka mencapai usia baligh. Dengan demikian mimbar menasihatkan para jemaah sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, ibu-bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun. Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan pelbagai gejala seperti rosak akidah, hilang kemulian akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka. Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.


    Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri. Dalam hal ini ibu-bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan beberapa petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:


    Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam subuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:


    Latihlah dan didiklah anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ketika mereka berumur sepuluh tahun jika mereka enggan menunaikan sembahyang dan pisahkan tempat tidur mereka.

    Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari,

    Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin,

    Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran,

    Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak -anak dan

    Keenam: Mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.

    Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Sebagai ibu-bapa kita digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak-anak, kerana doa ibu-bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi dari segala bencana. Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa kepada kedua cucunya Hasan dan Husin yang berbunyi:

    Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna untuk kamu berdua daripada gangguan syaitan, daripada binatang dan daripada mata yang berniat jahat.


    Walaupun kadang-kala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibu-bapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sebuah sekolah. Namun sebagai langkah positif, maka ibu-bapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan yang besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar mereka masing-masing. Oleh itu mimbar berpesan janganlah kita mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat berlapang dada apabila guru-guru menegur atau mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar mereka. Kita yakin tindakan guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak agar sedia berubah menjadi insan yang berguna. Kepada guru-guru jadikan tanggungjawab ini sebagai satu amanah yang wajib ditunaikan dengan sebaik mungkin. Ingatlah bahawa guru umpama bintang di langit yang menerangi alam semesta sebagaimana sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:


    "Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan". (Riwayat Anas bin malik)

    Marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka.

    sekalian marilah sama-sama kita tunaikan tanggungjawab sosial kita dengan membantu dan membela nasib pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak yang tidak berkemampuan supaya mereka juga dapat menghadapi sesi persekolahan yang baru ini dengan selesa dan sempurna. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:

    Maksudnya:
    " Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil. "



    SUMBER JAKIM

    Wednesday, January 11, 2012

    Ayah Terima Kasih Atas Didikanmu

    Ayah
    Walaupun dirimu tiada lagi di sisi
    Namun dirimu masih segar didalam ingatan
    insyaAllah akhir hayatku.
    Walaupun dirimu telah berada di alam lain
    Namun diriku masih merasa dirimu sentiasa disisi.

    Ayah yang telah mengajarku
    erti kesabaran, erti sifat merendah diri.
    Terima kasih ayah
    insyaAllah akan ku ingat nasihatmu sampai bila-bila.

    Dalam surah Luqman ayat 17-18

    MAKSUDNYA:
    Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (SURAH LUQMAN AYAT 17-18)

    Terima kasih ayah ..
    semoga dirimu disana diredhai ilahi
    dan di tempatkan bersama orang-orang yang soleh.
    Amin Ya rabb.


    Dibawakan oleh: Pemangkin intelektual Kehidupan

    BY:DALIL

    Lima Nama Rasulullah

    Lima Nama Rasulullah


    Dari Jubair bin Muth'in, katanya:
    Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ˜Aqib (penghabisan).

    Riwayat: (Bukhari)


    Huraian Hadith:

    Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu, ditujukan kepada seorang muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w., atau ganti namanya atau pun pangkat kenabiannya juga pangkat kerasulannya. Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar daripada penyokong-penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat bahawa sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa yang tersebut maka ia telah melakukan dosa besar kerana banyak hadith yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w., telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda s.a.w., pada masa disebutkan nama atau ganti nama Baginda s.a.w. maka dialah sebakhil-bakhil manusia, dialah yang mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka sekiranya tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu, (sebagaimana yang tersebut dalam hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; Hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; Hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami).

    SUMBER JAKIM

    Banyakkan Bersabar

    Banyakkan Bersabar


    Daripada Anas r.a. katanya, Aku berjalan bersama- sama Rasulullah s.a.w. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu dengan seorang Arab badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu. Kemudian orang arab itu berkata: Wahai Muhammad perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu, Maka rasulullah s.a.w berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.


    Riwayat al-Bukhari dan Muslim

    Huraian Hadith:

    1.Rasulullah s.a.w adalah seorang yang pemaaf dan tidak suka membalas dendam serta tidak mudah marah.

    2.Umat Islam hendaklah mencontohi sifat-sifat mulia tersebut kerana sifat-sifat ini mempunyai nilai-nilai kebaikan yang amat tinggi yang akan menimbulkan kesedaran kepada orang lain yang menerimanya.

    3.Islam menggalakkan umatnya supaya bertindak dengan cara yang bijaksana apabila berhadapan dengan golongan yang jahil dan hendaklah menunjukkan sikap yang lemah lembut agar dapat menarik hati mereka kepada Islam.

    SUMBER JAKIM

    Tuesday, January 10, 2012

    Manfaat kelebihan akal mampu kekang hawa nafsu

    AKAL adalah potensi manusiawi yang penting dan simbol keistimewaan manusia kerana dianugerah Allah kelebihan sangat berharga. Allah mengurniakan akal sebagai neraca untuk manusia menimbang lalu memilih mana yang baik dan buruk.

    Akal jugalah yang membezakan manusia dengan haiwan. Dengan memanfaatkan akal sesuai dengan tujuan sebenar Allah mengurniakannya, akan dapat menyempurnakan iman, agama dan akhlak manusia.

    Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. - Surah Al-A'raf, Ayat 179
    Allah SWT memuji hamba-Nya yang berakal dan menggunakan akal untuk berfikir. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di lautan membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 164)

    Kejadian manusia walaupun berasal dari air mani yang hina, namun diberi kedudukan mulia lantaran dikurniakan akal. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin, ayat 4)

    Namun, kemuliaan yang diperoleh itu hanya benar jika akalnya digunakan untuk berfikir dan merenung ciptaan Allah, meningkatkan keimanan, menolong agama-Nya dan membina kemuliaan akhlak.

    Sebaliknya, kegagalan memanfaatkan kelebihan akal untuk memikirkan keagungan dan ciptaan Allah, serta mengabdikan diri kepada-Nya akan menyebabkan manusia itu dijatuhkan Allah tarafnya lebih hina daripada binatang.
    Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah Al-A'raf, ayat 179)

    Manusia di dunia ini sebenarnya berada di dua persimpangan antara runtunan hawa nafsu dan keimanan terhadap Allah SWT. Maka Allah mengurniakan akal untuk manusia berfikir, sama ada memilih keimanan yang membawa keredaan Allah atau kehendak nafsu yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

    Sebenarnya Allah mengurniakan akal supaya manusia memilih jalan kebaikan. Sebab itu manusia yang memilih beriman kepada Allah dan membuktikan keimanannya dengan amalan salih dikira orang berjaya.

    Sebaliknya yang menurut hawa nafsu tidak terkawal sehingga terjerumus ke lembah maksiat, maka sangat buruk padahnya.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

    Kesihatan akal juga perlu penjagaan supaya kelebihan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Semua yang mengacaukan akal dan segala yang memabukkan adalah haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Penjagaan fungsi akal ialah dengan membanyakkan menimba ilmu pengetahuan bermanfaat sebagai makanan buat otak. Ilmu itu termasuk pengetahuan keagamaan dan segala ilmu yang berfaedah. Akal yang kosong adalah akal orang yang fasik.

    Allah memerintahkan kita supaya mempergunakan akal untuk kemaslahatan dunia dan akhirat dan kehinaan bakal menimpa mereka yang menyalahgunakan akal fikiran. Firman Allah bermaksud: “Dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang yang tidak menggunakan akalnya.” (Surah Yunus, ayat 100)

    Akal memang ada musuhnya iaitu syahwat, begitulah sebaliknya. Kedua-duanya saling berusaha untuk mengalahkan lawan masing-masing.

    Kata Saidina Ali: “Akal adalah musuh syahwat. Ilmu menjaga akal dan keinginan itu memperkuat syahwat. Segala keinginan berkenaan saling berebut untuk jadi pemenang. Manusia yang paling utama di sisi Allah adalah yang menghidupkan akalnya, kemudian membunuh syahwatnya (yang mengajak kepada kejahatan) dan menyusahkan dirinya demi kebahagiaan akhirat.”

    Orang yang berubah adalah orang yang mempergunakan akal fikiran, waktu dan tenaganya untuk semakin dekat dengan Allah kerana perubahan itu dekat kepada kejayaan, kebahagiaan dan kemuliaan.

    Hendaknya, setiap masa berlalu harus ada ilmu yang masuk ke dalam akal kita, baik melalui pembacaan, pendengaran atau menghadiri majlis ilmu yang menjadikan akal lebih baik dari sebelumnya.



    sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Manfaatkelebihanakalmampukekanghawanafsu/Article/index_html

    Mengekalkan Akhlak Yang Baik

    Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
    Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.


    Riwayat Abu Daud

    Huraian Hadith:

    1.Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.

    2.Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

    SUMBER JAKIM

    SIKAP YANG BAIK

    SIKAP YANG BAIK

    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

    Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.

    Riwayat Ibnu Abi Dunya


    Huraian Hadith:

    i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat।

    ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya।

    iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air। Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

    iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu। Bak kata pepatah Melayu Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

    v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

    SUMBER JAKIM

    Monday, January 9, 2012

    Dengki Dan Irihati Biarlah Pada Tempatnya

    Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
    Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang
    lain


    Riwayat Hadith al-Bukhari


    Huraian Hadith:

    1. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan Sahaja.

    2. Islam tidak membenarkan orang yang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Quran dan Hadith, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.

    3. Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia melainkan didalam dua perkara:

    i) Merasa iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya pula kepada orang lain.

    ii) Orang yang dikurniakan harta dan membelanjakan hartanya itu dijalan yang diredhai oleh Allah.


    SUMBER JAKIM





    Menghayati

    Menghayati

    Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:
    Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis


    Riwayat: (at-Tabrani)

    HURAIAN

    1. Perasaan khusyuk, takwa dan kehambaan kepada Allah S.W.T hendaklah dipupuk di dalam jiwa setiap individu Muslim. Ini dapat dicapai melalui pembacaan (tadabur) al-Quran, mengerjakan sembahyang, dan merenung (tafakur) tentang kejadian makhluk Allah di muka bumi ini.

    2. Orang yang alim dan mempunyai sifat mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang akan tersentuh hatinya sebaik sahaja membaca atau mendengar ayat-ayat Allah dibaca. Begitu juga mereka akan terharu dan merasai keagungan Allah Yang Maha Besar apabila terpandangkan ciptaan-Nya yang begitu cantik dan mengagumkan.

    3. Segalanya ini adalah tanda-tanda kemanisan dan kelazatan iman yang sebenarnya dan hanya dapat dirasai oleh hati-hati yang hidup iaitu hati yang sentiasa digilap dengan nur keimanan serta jauh daripada dosa dan maksiat. Inilah mukmin sejati di mana mata, hati dan seluruh anggotanya dikawal oleh akal yang mendapat hidayah daripada Allah. Ia tidak mati tapi sentiasa menghayati sebagaimana yang dianugerahkan kepada para rasul, wali dan salafussoleh yang mencintai Allah.

    SUMBER JAKIM