Thursday, April 26, 2012

Allah Tempat Berlindung dan Bermohon

Daripada Ibnu Mas’ud RA bahawasanya Nabi SAW pernah berdoa, “Ya Allah aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, terhindar daripada kejahatan dan kekayaan jiwa.”
Huraian Hadith:
  1. Orang yang beriman hendaklah sentiasa tunduk dan berlindung kepada Allah dalam semua keadaan.
  2. Di antara sifat-sifat mulia ialah yang dipohon oleh Rasulullah SAW dalam hadis ini iaitu taqwa, afaf (menghindarkan diri daripada larangan Allah) dan kaya jiwa.
  3. Permohonan kepada Allah hendaklah daripada perkara yang diredhai khususnya untuk menjadi hamba yang bertaqwa.
Riwayat: Muslim       

Sumber: Jakim

Kelebihan Menuntut Ilmu

Daripada Anas RA katanya, “ Ada dua orang adik-beradik pada zaman Rasulullah SAW, salah seorangnya selalu berdamping dengan Rasulullah SAW, dan seorang lagi pergi membuat kerja, maka yang bekerja itu mengadu hal kepada Rasulullah berkenaan dengan saudaranya itu, lalu Rasulullah menjawab: “Semoga engkau diberi rezeki dengan sebab dia.”
Huraian Hadith:
  1. Digalakkan membantu ahli ilmu (pelajar dan ulama).
  2. Orang yang menuntut ilmu mempunyai kelebihan iaitu rezekinya dijamin oleh Allah SWT dengan mendorong orang lain membantunya.
  3. Seseorang itu janganlah berbangga kerana mempunyai pekerjaan yang baik dan memperoleh rezeki yang lumayan kerana rezeki yang diperolehi itu mungkin disebabkan doa orang lain.

Riwayat: at-Tirmizi       

Sumber : Jakim

Menyeru Ke arah Kebaikan

Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amru al-Ansori al-Badri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang telah menunjukkan ke arah kebajikan maka baginya pahala seperti orang yang melakukan kebajikan itu”.
Huraian Hadith:
  1. Setiap orang yang memeberi petunjuk atau teladan yang baik akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.
  2. Bercita-citalah untuk menambahkan amal kebajikan dengan penuh ketaatan
Riwayat: Muslim       
sumber  :Jakim